GEORGE TOWN – Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dengan kerjasama Rapid Bus Sdn Bhd menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik percuma dari Komtar ke Bukit Bendera bermula 29 Januari ini.
Menurut PBBPP, perkhidmatan yang ditawarkan selama lima hari itu iaitu hingga 2 Februari itu bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar Bukit Bendera khususnya menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.
“Penggunaan bas ulang-alik itu juga menggalakkan inisiatif hijau bagi mengurangkan pelepasan karbon di Pulau Pinang yang selari dengan Visi Penang 2030 untuk mewujudkan Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” katanya di sini, hari ini.
Perkhidmatan bas ulang-alik percuma yang ditawarkan buat kali keenam sejak 2023 akan bermula dari pukul 9 pagi hingga 9 malam dengan kekerapan lapan perjalanan setiap hari bagi kedua-dua arah bagi tempoh setiap satu jam setengah.
Sementara itu, penumpang boleh menaiki perkhidmatan ulang-alik itu di hentian bas 9 Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) yang terletak di Jalan Ria iaitu laluan bawah bersebelahan kiosk Rapid Penang untuk sampai ke Stesen Bawah Bukit Bendera.
“Bas ini turut mesra kerusi roda malah mudah dikenal pasti kerana ia akan ditanda sebagai ‘Penang Hill Free Shuttle Service’.
“Jadual waktu penuh untuk perkhidmatan bas ulang-alik itu boleh didapati di laman sesawang rasmi PBBPP atau menerusi platform media sosial yang berkaitan,” katanya. – KOSMO! ONLINE