fbpx

Anak demam, bekas isteri Hafidz Roshdi tidak hadir mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hafidz ketika hadir di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini. - Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI / KOSMO!

HULU SELANGOR – Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini hari ini menetapkan 8 dan 13 Mei ini bagi tarikh akhir untuk bekas isteri pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri hadir ke mahkamah berhubung kes pukul membabitkannya dengan bekas suaminya itu dua tahun lalu.

Majistret Nurul Izzah Hassan Basri memerintahkan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan Nurul Shuhada yang kini berada di Australia tidak dapat pulang ke Malaysia kerana anaknya demam.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan berkata, Nurul Shuhada memaklumkan ketidakhadirannya pada hari ini
menerusi satu surat yang dilampirkan pada 17 Januari lalu.

“Pengadu telah membeli tiket penerbangan ke Malaysia, namun anak pengadu telah ditahan di lapangan terbang. Pada waktu sekarang Australia sedang dilanda wabak “Measles” yang mana sesiapa yang mempunyai gejala ruam dan demam dihalang untuk menaiki pesawat,” kata Asmah.

Tambah beliau, meskipun pengadu tidak dapat hadir, pihak pendakwaan bersedia untuk perbicaraan dengan tiga saksi telah hadir pada hari ini.

Mendengar perkara itu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Hafidz membantah sekiranya pihak pendakwaan berhasrat untuk menjalankan perbicaraan tanpa kehadiran pengadu.

“Tujuan mahkamah memerintahkan pengadu hadir hari ini adalah bagi memberi penjelasan berhubung laporan tarik balik kes. Apa yang meragukan sekiranya benar anak pengadu demam, di mana surat laporan perubatannya,” kata Akberdin.

Sementara itu, berhubung perbicaraan, Akberdin dengan tegas turut membantah kerana subjek dalam kes ini adalah pengadu.

“Justeru saya mohon supaya tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan ini,” kata beliau.

Pada 13 Mac 2023, Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 31, didakwa dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurul Shuhada, 31, dengan menumbuk pipi kiri wanita itu sebanyak tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak.

Hafidz didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya di sini pukul 3.22 pagi 2 Mac 2023 mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Kesalahan itu turut dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323 kanun yang sama.

Sebelum ini, mahkamah sama diberitahu, Hafidz disahkan waras dan pertuduhan yang didakwa ke atasnya layak dibicarakan.

Pada 29 Mac tahun lalu, Hafidz telah ke Hospital Bahagia untuk menjalani pemeriksaan psikiatri sebagaimana yang diperintahkan selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Untuk rekod, Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 7, dan Umar, 3 tahun.

Dalam prosiding sebelum ini, peguam itu pernah menyatakan bahawa pengadu dalam kes ini telah menyelesaikan kes apabila telah menarik balik laporan polis pada 6 Julai tahun lalu.

Berdasarkan dokumen, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan yang baik di luar mahkamah dengan pengadu (Nurul Shuhada) telah bersetuju menarik balik laporan polis.

Pada 14 Oktober lalu, mahkamah sama memerintahkan Nurul Shuhada perlu hadir pada hari ini selepas pihak pendakwaan memaklumkan akan tetap meneruskan perbicaraan berhubung pertuduhan itu.

Awal Ogos lalu, media melaporkan Nurul Shuhada memaklumkan dia kini bersama dua anaknya sudah berhijrah ke Australia dan difahamkan menetap di Melbourne bagi menyambung pengajian di sebuah institut pendidikan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI