PEMBANGUNAN teknologi dianggap sebagai solusi baharu yang dipercayai dapat menjimatkan masa dan mengurangkan kos tenaga kerja.
Namun, tidak semua kecanggihan ada memberikan manfaat sekata kepada semua pihak. Sebaliknya, peralihan digital itu membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab dalam melakukan aktiviti jenayah.
Begitulah yang dialami oleh seorang wanita Perancis berusia 53 tahun yang dipercayai telah menjalin hubungan cinta dengan aktor popular, Bratt Pitt.
Mungkin ada yang beranggapan perkara itu delusi sang peminat kerana terlalu memuja artis kesayangan mereka. Tetapi, pada zaman kini situasi itu berbeza dengan adanya ‘campur tangan’ teknologi penciptaan imej kecerdasan buatan (AI).
Gara-gara mabuk asmara cinta dengan bintang pujaan, Anne bercerai dengan suaminya dan memindahkan wang sebanyak 830,000 euro (RM3.85 juta) kepada penyamar.
Wanita itu ternyata menjadi menjadi ‘korban percintaan’ apabila dia terpedaya dengan akaun palsu di media sosial dan WhatsApp apabila penyamar menggunakan AI untuk membuat kiriman kelihatan sama seperti swafoto dan mesej daripada Pitt.
Disebabkan itu, kesedaran terhadap kandungan AI pada masa depan menjadi keutamaan agar kes penipuan melibatkan jenayah siber tidak akan berlaku.
Menurut laporan Cybersecurity Venture, kos akibat serangan siber pada 2025 dijangka melebihi AS$10 trilion (RM44 trilion). Perubahan perlu dibuat bagi melindungi maklumat peribadi dan data perniagaan kerana ancaman baharu itu semakin canggih direka oleh penjenayah siber untuk memperdaya mangsa.
Oleh itu, keterjaminan keselamatan perlu dipertingkat dengan melibatkan pertahanan berkuasa AI yang turut sama maju bagi mengatasi perkara tersebut.
Menurut Ketua Teknologi ASEAN, Joel Garcia, individu berniat jahat mencipta serangan bersasar menggunakan kemudahan teknologi canggih berbanding yang terdahulu.
“Sebagai contoh, AI generatif telah menjadikan data, perisian dan aktiviti menggodam dapat dibuat dengan lebih mudah meskipun bukan berdasarkan pengaturcara ditetapkan.
“Penjenayah siber boleh menggunakan alat seperti FraudGPT untuk menjana kod bagi menembusi pertahanan dan beralih kepada WormGPT untuk mencipta e-mel pancingan data perniagaan.
“AI dan AI generatif membolehkan penjenayah bertindak lebih pantas dan pada skala yang lebih besar. Ini juga boleh digunakan untuk menjana e-mel dan halaman web pancingan data yang kelihatan realistik dengan cepat dan automatik supaya mangsa memberikan maklumat sulit dengan cepat,” katanya.
Menurut kajian di Amerika Syarikat, 60 peratus peserta menjadi mangsa percubaan pancingan data yang dijana oleh AI iaitu setanding dengan kadar kejayaan mesej bukan pancingan data AI yang dicipta oleh manusia.
Sementara itu, Ketua Penasihat dan Perniagaan Baru, Ensign InfoSecurity, Gaurav Keerthi berkata, AI boleh menganalisis dengan cepat sejumlah besar data untuk mengenal pasti corak dan anomali yang mungkin menunjukkan serangan siber.
“Ini membantu pasukan keselamatan berada di hadapan penyerang untuk mengurangkan risiko berlaku. Lebih penting, AI bukan sahaja boleh bertindak balas, tetapi mampu meramal, menganalisis data sejarah dan meramal potensi ancaman.
“Organisasi boleh menggunakan teknologi AI untuk mengenal pasti kelemahan dalam sistem mereka, kemudian mengukuhkan sebelum penggodam mendapat peluang untuk mengeksploitasinya.
“Ia mengenal pasti anomali yang menyimpang daripada aliran asas dan mengumpul data yang kelihatan tidak berkaitan ke dalam corak yang bermakna,” ujarnya.
Kajian oleh firma penyelidikan Ecosystm mendapati bahawa 65 peratus pemimpin teknologi maklumat di Singapura mendapati sukar untuk mengenal pasti penyelesaian jenayah siber AI yang betul.
Menurut Naib Presiden Industry Insights, Sash Mukherjee, mencari kesesuaian berkaitan perkara itu penting bagi memastikan ekosistem operasi dengan fungsi keselamatan ke dalam satu platform, mengurangkan kerumitan, meningkatkan kecekapan dan meminimumkan kesilapan manusia.
“Ekosistem ini juga memudahkan perkongsian perisikan ancaman dan membantu ketua pegawai keselamatan maklumat (CISO) bagi mengurangkan ancaman.
“Apabila AI mendapat lebih banyak daya tarikan, penggodam akan mencari cara baharu menggunakan senjata itu untuk menyebabkan kerosakan serius kepada organisasi,” ujarnya.