fbpx

Polis ambil keterangan guru pukul kanak-kanak prasekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AIZA Salzul menunjukkan kesan lebam pada tapak tangan anaknya didakwa dilakukan seorang guru prasekolah di sebuah sekolah di Jelapang, baru-baru ini. (Gambar kecil: Abang Zainal Abidin)

IPOH – Polis telah mengambil keterangan guru wanita yang didakwa memukul seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun hingga cedera dalam kejadian di sebuah prasekolah di Jelapang.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, guru berusia lewat 30-an itu dipanggil sebanyak tiga kali untuk hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

“Sebanyak tiga laporan polis dibuat oleh seorang wanita yang mendakwa anak lelakinya dicederakan oleh seorang guru. Ekoran laporan tersebut, guru terbabit dipanggil untuk dirakam percakapan.

“Selain guru berkenaan, kita turut memanggil guru kelas lain untuk membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Abang Zainal, siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

Katanya, kertas siasatan kes tersebut telah dirujuk kepada pihak pendakwaan negeri untuk tindakan dan arahan selanjutnya.

“Pihak polis menerima laporan dibuat ibu mangsa pada 14 Disember lalu dan wanita itu mendakwa terdapat kesan biru pada tapak tangan mangsa dipercayai akibat dipukul.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk pemeriksaan lanjut dan disahkan mengalami kecederaan tisu lembut pada kedua-dua tapak tangan tanpa lebam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI