CALIFORNIA – Jaguh seni bela diri campuran (MMA), Islam Makhachev terus membuktikan kehebatannya sebagai pejuang terbaik di gelanggang Ultimate Fighting Championship (UFC) sejurus mengekalkan gelaran lightweight selepas menewaskan Renato Moicano semalam.
Biarpun telah mencipta 15 kemenangan berturut-turut, tetapi petarung berusia 33 tahun itu tidak mahu berhenti di situ apabila meluahkan hasratnya untuk bergelar juara dalam tiga kategori berbeza sebelum bersara.
Selepas mempertahankan gelaran lightweight sebanyak empat kali berturut-turut pada aksi berlangsung di Intuit Dome, California, Amerika Syarikat,, Makhachev kini mengalihkan fokus kepad kelas featherweight yang dikuasai juara tanpa kekalahan, Ilia Topuria.
“Saya tidak akan meninggalkan sukan ini tanpa mendapatkan tali pinggang kedua. Bila masanya, saya tidak pasti.
“Tapi saya akan terus bertarung dan menang. Bila peluang datang, saya akan jadi juara. Bila waktunya, saya tak pasti. Tapi saya akan terus bertarung dan menang,” kata petarung dari Rusia itu yang pernah menjadi rakan sekelab kepada Khabib Nurmagomedov.
Tidak cukup dengan itu, Makhachev turut mengintai gelaran middleweight apabila menyatakan kesediaannya untuk mencabar juara semasa, Dricus du Plessis.
Du Plessis akan mempertahankan gelarannya sewaktu menentang Sean Strickland pada saingan UFC 312 bulan depan.
“Saya boleh bergeluar juara tiga kategori berbeza-beza, jadi bagi saya peluang untuk mengaturkan perlawanan ini. Jika Dana White (Presiden UFC) hantar kontrak, saya akan lawan,” jelas Makachev. -AGENSI