TIADA sebarang tekanan buat Terengganu FC (TFC) untuk mengintai peluang layak ke separuh akhir Kejuaraan Kelab Asean (ACC) musim ini.
Bagaimanapun, bintang sensasinya, Safawi Rasid sentiasa mengingatkan rakan sepasukan supaya berwaspada dengan ancaman mampu diberikan oleh PSM Makassar dan BG Pathum United dalam baki dua perlawanan.
Dalam masa sama, Safawi juga merasakan kejayaan ke atas kelab Myanmar, Shan United sebelum ini sudah memadai untuk memberikan motivasi kepada seluruh pasukan bagi mengintai mata maksimum dalam baki selepas ini.
“Saya harap rakan sepasukan bersedia mengerah segala kudrat dalam dua aksi selepas ini kerana kami amat memerlukan mata maksimum. Kejayaan menewaskan Shan United 5-0 beri motivasi berdepan PSM dan juga BG Pathun United nanti.
“Saya juga lebih tenang beraksi musim ini serta turut berpuas hati dengan prestasi saya musim ini. Saya rasa lebih fokus menghadapi setiap perlawanan,” katanya.
Kelab dari Pantai Timur itu terlebih dahulu melayan kunjungan PSM Makassar di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam esok sebelum berkunjung ke tempat lawan untuk aksi dengan BG Pathum United pada 5 Februari ini.
Ketika ini, skuad kendalian Badrul Afzan Razali berada di kedudukan keempat Kumpulan A dengan mengumpul empat mata.