SKUAD hoki Maybank terus mempamerkan prestasi memberangsangkan apabila menduduki tangga kedua Liga Hoki Malaysia (MHL) dengan 12 mata, hanya tiga mata di belakang pendahulu, Pasukan Hoki Terengganu (THT).
Ketua jurulatih Maybank, Iman Gobinathan gembira dengan perkembangan positif pasukan serta memuji peningkatan mendadak dalam aspek teknikal termasuk keberkesanan pukulan sudut penalti (PC) dan penyudah di depan gawang.
“Prestasi pasukan semakin baik dari segi taktikal dan penyudahan. Pemain juga menunjukkan komitmen tinggi dalam setiap perlawanan. Ini perkembangan yang sangat positif buat pasukan,” katanya.
Bagaimanapun, Maybank berdepan cabaran besar apabila kehilangan tujuh pemain utama yang akan beraksi bersama skuad hoki dalam dewan negara di Piala Dunia di Porec, Croatia bulan depan.
Ketiadaan mereka jelas memberi impak besar kepada kekuatan pasukan, terutamanya ketika dijadualkan menyambung saingan MHL pada 13 Februari ini menentang TNB Thunderbolts, hanya dua hari selepas pemain-pemain itu kembali ke tanah air.
“Kami akan menghadapi kesukaran untuk menilai keadaan pemain selepas mereka pulang. Peralihan daripada hoki dewan ke padang memerlukan penyesuaian, ditambah pula dengan isu pemulihan dan risiko kecederaan,” ujar jurulatih tersebut.
Iman turut mengakui cabaran besar untuk mengekalkan momentum pasukan, namun kekal optimis dengan pendekatan berstrategi.
“Kami akan terus fokus kepada satu demi satu perlawanan. Situasi mungkin mencabar, tetapi kami percaya dengan semangat berpasukan dan strategi fleksibel, kami mampu mengharunginya,” tambahnya.
Jurulatih itu juga menjelaskan komitmen Maybank terhadap pembangunan hoki negara, meskipun terpaksa mengorbankan beberapa kekuatan utama demi menyokong pasukan kebangsaan.
“Kami berkorban untuk hoki Malaysia dan itu adalah sesuatu yang membanggakan. Apabila pemain kembali, fokus kami tetap untuk meneruskan perjuangan dalam MHL,” ujar Iman.