PETALING JAYA – Tidak tahu menahu, pelakon Chacha Maembong mengakui terkejut apabila mendengar khabar angin kononnya kakaknya, Emma Maembong sudah berkahwin dengan seorang deejay kelab malam.
Chacha atau nama sebenarnya Siti Aishah Ismail, 28, bagaimanapun memilih untuk tidak mengulas lanjut kerana belum mengetahui kesahihan dakwaan tersebut.
“Macam ni, sejujurnya saya memang tidak tahu tentang gosip itu dan daripada mana spekulasi ini boleh timbul. Saya tak berani nak beri sebarang komen.
“Sebab saya tak pernah dengar tentang perkara itu, lebih baik saya tidak cakap apa-apa, nanti lain pula jadinya.
“Saya sendiri pun baru sahaja pulang kerja dan kini berada di rumah untuk beristirehat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Terdahulu, desas-desus timbul mengatakan Emma sudah berkahwin dengan seorang deejay dikenali sebagai DJ Kidd selepas bercerai dengan bekas suaminya, Muhammad Shazli Azhar.
Malah, pasangan itu didakwa bercuti bersama di luar negara berdasarkan beberapa gambar yang tular dalam media sosial.
Emma dan Shazli sebelum ini merahsiakan tarikh sebenar perceraian mereka, namun mengumumkan perpisahan pada 7 Oktober tahun lalu.
Kosmo! Online cuba mendapatkan penjelasan daripada Emma untuk mengesahkan dakwaan tersebut, namun usaha itu gagal apabila panggilan telefon tidak dijawab. – KOSMO! ONLINE.