ALOR SETAR – Sasaran Malaysia untuk mencapai status negara maju dalam tempoh 2028 hingga 2029 bukan bersifat terburu-buru, sebaliknya berdasarkan pertumbuhan ekonomi negara sejak kebelakangan ini.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, Malaysia juga berada di landasan yang betul dalam mencapai status negara maju itu dengan pertumbuhan ekonomi mampan antara empat hingga lima peratus ketika ini.
“Saya tidak rasa sebenarnya dasar kerajaan sekarang ini adalah untuk mengejar menjadi negara maju, cuma pertumbuhan ekonomi kita yang kebelakangan ini, contohnya untuk 2024 dijangka 5.1 peratus.
“Kemudian kalau ini berterusan pada kadar 4.5 peratus ke atas untuk beberapa tahun akan datang, itu secara automatik menjadikan kita negara maju,” katanya pada sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Kerajaan Negeri Kedah di Seri Mentaloon, di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Beliau mengulas tentang kenyataan pakar ekonomi bahawa Malaysia tidak wajar terburu-buru mengejar status negara maju sebelum berjaya mengimbangi beberapa faktor penting yang boleh dijadikan kayu pengukur sebenar.
Mengulas lanjut kata Rafizi, pertumbuhan ekonomi negara itu juga akan didorong dengan minat pelaburan luar yang semakin meningkat memandangkan Malaysia dianggap pintu masuk terbaik ke ASEAN.
Kata beliau, unjuran tersebut meletakkan RMK13 kepada usaha-usaha Kerajaan Persekutuan ke arah meningkatkan kemajuan fizikal untuk kesejahteraan rakyat termasuk infrastruktur. – KOSMO! ONLINE