BATU PAHAT- Seorang wanita maut, manakala lima termasuk dua kanak-kanak parah selepas terlibat dalam kemalangan dua kenderaan di Jalan Ayer Hitam – Kluang berhampiran Taman Bahagia, Ayer Hitam di sini malam kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam, Penolong Penguasa Bomba, Shamin Mohamad Salikin berkata, sebaik menerima maklumat pukul 10.14 malam, Pegawai Bomba Kanan I Isyadi Dani bersama enam anggota dan satu jentera Fire Rescue Tender dikejarkan ke lokasi.
“Kemalangan melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza dan sebuah kereta Proton Saga BLM.
“Terdapat seorang wanita berusia 37 tahun yang duduk di kerusi penumpang belakang Proton Saga BLM tersepit dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dilakukan anggota bomba,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Menurut Shamin, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah oleh kakitangan Kementerian Kesihatan. Pemandu MPV berusia 41 tahun dan empat lagi termasuk pemandu dan penumpang Proton Saga cedera. – KOSMO! ONLINE