fbpx

KPM tumpu isu keciciran murid ke sekolah menengah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina (tiga dari kanan) melakukan lawatan kerja rasmi ke SK Danglau, Sik hari ini.

SIK – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi tumpuan kepada isu keciciran dengan memastikan semua murid sekolah rendah menyambung persekolahan ke peringkat menengah.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, intervensi paling penting adalah memastikan kehadiran setiap murid ke sekolah, seterusnya melalui transisi dari darjah enam ke tingkatan satu.

“Transisi dari darjah enam ke tingkatan satu mesti ditangani terlebih dahulu, jadi bila proses transisi tidak ada keciciran dari darjah enam ke tingkatan satu, saya percaya ia (keciciran) akan dapat diatasi,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja rasmi ke Sekolah Kebangsaan (SK) Danglau, di sini hari ini.

Katanya, enrolmen sekolah rendah berada dalam keadaan baik iaitu pada kadar kira-kira 99 peratus yang mana dasar pendidikan wajib sekolah rendah membantu pencapaian tersebut.

“Sementara enrolmen sekolah menengah pada waktu ini mencapai kira-kira 93 peratus yang mana ia perlu ditingkatkan bagi mencapai enrolmen sejagat iaitu 95 peratus,” jelasnya.

Menurutnya, bagi menangani isu keciciran murid dan masalah berbangkit lain itu, beliau dan pengurusan tertinggi pada tahun ini akan turun ke 143 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh negara.

Tambahnya, kementerian pada masa sama melaksanakan usaha berterusan untuk meluaskan kelas prasekolah di seluruh negara yang mana sasaran peluasan tahun ini adalah 150 kelas prasekolah baharu di seluruh negara, berbanding 134 tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI