KUALA LUMPUR – Cuti kira-kira 12,000 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dibekukan sebagai persiapan agensi tersebut menghadapi Sambutan Tahun Bahru Cina pada hujung bulan ini.
Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, ia merupakan 70 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota di seluruh negara.
“Mereka diberi pelepasan bercuti secara penggiliran bagi memastikan kekuatan keanggotaan mencukupi bagi menghadapi sebarang insiden.
“Maka, kita ada lebih kurang 10,000 ke 12,000 anggota yang bersiap siaga sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina dan Monsun Timur Laut ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Kesiapsiagaan Musim Perayaan Sempena Tahun Baru Cina Tahun 2025 – Ops Siaga Raya yang diadakan di Suria KLCC, Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, KPKT melalui JBPM turut memberi penekanan kepada lima aspek utama sebagai persediaan menghadapi insiden kecemasan sepanjang tempoh berkenaan.
“Pelaksanaannya dibuat menerusi aspek pendidikan, penguatkuasaan, pencegahan, pemantauan berterusan dan kolaborasi strategik bagi meminimumkan risiko-risiko keselamatan.
“Ia susulan terdapat peningkatan risiko keselamatan seperti kebakaran, ketika melakukan aktiviti di air atau di jalan raya apabila setiap kali tiba musim perayaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE