BANDAR GAZA – Kepulangan 90 tahanan Palestin disambut dengan air mata dan pelukan selepas mereka dibebaskan dari penjara Israel susulan gencatan senjata antara Tel Aviv dan Hamas, lapor saluran berita Al Jazeera hari ini.
Pembebasan kumpulan pertama tahanan Palestin berlaku sekitar pukul 1 pagi (waktu tempatan) hari ini. Mereka dibawa pulang dengan menaiki bas Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).
Beribu-ribu penduduk Palestin menyambut kepulangan yang sudah lama ditunggu-tunggu itu sebaik sahaja bas membawa mereka tiba di Ramallah, wilayah Tebing Barat.
Meskipun Israel mengeluarkan amaran supaya penduduk Palestin tidak mengadakan sebarang perhimpunan, mereka tetap bersorak dan melontarkan nyanyian sebagai tanda kesyukuran dan kegembiraan.
Tahanan awal itu termasuk 69 wanita dan 21 kanak-kanak lelaki dengan sebilangan mereka berumur seawal 12 tahun.
Antara yang dibebaskan ialah pemimpin Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin, Khalida Jarrar, berusia 62 tahun.
Khalida ditahan selama enam bulan di bawah ‘penahanan pentadbiran’ yang membolehkan dia dipenjara selama-lamanya tanpa pertuduhan atau perbicaraan mahkamah.
Wartawan Palestin, Bushra al-Tawil juga antara tahanan yang dibebaskan.
“Penantian ini amat sukar tetapi Alhamdulillah. Kami yakin akan dibebaskan suatu hari nanti,” katanya.
Seorang penduduk yang menyambut kepulangan tahanan, Amanda Abu Sharkh berkata: “Semua tahanan yang dibebaskan ialah keluarga kepada kami. Mereka adalah sebahagian daripada kami walaupun tiada pertalian darah,” katanya kepada AFP. – AGENSI