TAWAU – Seorang lelaki asing yang nekad melarikan diri dari hospital selepas terbabit dalam kemalangan ditahan di Kampung Vietnam, Tanjung Batu di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan di Jalan Mawar Kampung Jawa pada pukul 5.53 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pukul 4.40 pagi membabitkan sebuah kereta dipandu lelaki berusia 22 tahun.
“Pemandu dikatakan membawa tiga remaja perempuan berusia 14 hingga 16 tahun dari arah bandar menuju ke kawasan Hill Top.
“Setibanya di lokasi, kerreta itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas menyebabkan semua mangsa cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, semua mangsa termasuk pemandu dihantar ke Hospital Tawau untuk menerima rawatan. Pegawai perubatan kemudian membuat laporan polis memaklumkan pemandu terbabit melarikan diri semasa proses rawatan.
“Suspek ditahan di Kampung Vietnam, Tanjung Batu pada pukul 7 malam dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE