fbpx

Trump berjanji hentikan ‘kejatuhan Amerika’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Trump berucap di Arena Capital One, Washington, DC. semalam. - AFP

WASHINGTON –  Donald Trump berikrar akan menamatkan ‘kejatuhan Amerika’ semasa berucap pada perhimpunan menjelang majlis angkat sumpah beliau kelmarin dan bertekad  membasmi ketidakadilan kaum serta pendatang tanpa izin.

Dalam perhimpunan di Washington, pemimpin berusia 75 tahun daripada Parti Republikan itu berkata, beliau akan bertindak dengan ‘kepantasan bersejarah’ bermula dari hari pertama menduduki semula White House. 

“Esok pada waktu tengah hari, tirai kejatuhan Amerika tertutup dan kita akan memulakan hari baharu dengan kekuatan dan kemakmuran.

“Saya akan bertindak dengan kepantasan bersejarah untuk menyelesaikan semua krisis yang dihadapi oleh negara kita,” kata Trump.

Beliau juga berjanji untuk menandatangani banyak perintah eksekutif bermula dari hari pertama bertugas termasuk mengharamkan ‘kegilaan transgender’ dan melarang kelompok tersebut menyertai sukan kategori wanita.

Trump juga mengulangi janji mendedahkan fail sulit mengenai pembunuhan bekas presiden John F. Kennedy, saudara lelakinya, Bobby Kennedy dan pemimpin hak awam, Martin Luther King Jr.

Bagaimanapun, sebahagian besar daripada ucapan Trump selama sejam  itu  menumpukan kepada isu pendatang tanpa izin.

“Kita akan menghentikan pencerobohan sempadan kita,” tambahnya yang berjanji akan melancarkan operasi menangkap pendatang asing dalam masa beberapa hari lagi.

Namun, harapan beliau untuk mengangkat sumpah di Capitol lewat semalam tidak kesampaian kerana cuaca buruk.

Sebaliknya, majlis angkat sumpah Trump berlangsung di arena tertutup, Rotunda yang kali terakhir digunakan untuk majlis angkat sumpah Presiden Ronald Reagan, 40 tahun lalu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI