PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan golongan belia dan anak muda yang masih melayan budaya terlalu selesa, tidak mahu berubah, malah terpedaya dengan mainan politik murahan menjadi antara faktor menyukarkan pembentukan negara bertamadun.
Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata, adalah penting sebagai rakyat Malaysia menghormati dan menjuarai nilai manusiawi dalam membentuk Malaysia ke sebuah negara yang lebih bertamadun serta berjaya di masa hadapan.
Perkara itu ditekankan Anwar ketika berucap dalam majlis bersama warganegara Malaysia di Belgium.
“Usai tiba di Brussels, saya terus ke mesyuarat tertutup untuk kemaskini program yang diatur di sini dan seterusnya menyantuni diaspora dalam satu majlis santai dan harmoni.
“Nasihat saya adalah, untuk terus membangun dan berjaya, perlunya kebersamaan dari semua pihak termasuk anak jati Malaysia yang berada di luar negara agar negara tidak ketinggalan di persada dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE