fbpx

‘Bukan musibah tapi ujian untuk Allah angkat darjat Che Ta’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rubythoh dan suaminya, Mazlan Pet Pet menyifatkan Rozita sebagai kakak yang bertanggungjawab dan tidak pernah berkira dengan keluarga mahupun orang luar.

KUALA LUMPUR – Sayu melihat kakak dikecam gara-gara isu hutang Majlis Amanah Rakyat (MARA), adik kepada Rozita Che Wan, Rubythoh Abu Bakar mengakui insan dihormatinya itu bukan seperti digambarkan segelintir pihak.

Rubythoh juga isteri pelawak Mazlan Pet Pet itu berkata, sehingga ke hari ini Rozita atau Che Ta yang dikenali sebagai wanita bertanggungjawab sentiasa tenang menyelesaikan sendiri isu membabitkan hal peribadi mahupun syarikatnya.

“Sebagai adik saya kasihan melihat orang yang kita sayang dihentam teruk sampai rasa hendak membalas semua komen kasar dalam media sosial, tetapi saya batalkan niat itu sebab enggan keruhkan keadaan.

“Dia pula jenis tak mengadu, mungkin enggan emak dan adik-beradik susah hati tapi saya yakin Kak Ta (Che Ta) dapat selesaikan hal tersebut kerana dia orang yang bertanggungjawab. Dulu waktu kecil kami sekeluarga susah tetapi Kak Ta jaga kami. Dia bekerja keras mengubah nasib keluarga.

“Sikap bertanggungjawab itu terbawa-bawa sampai sekarang. Walaupun semua adik-beradiknya sudah kahwin, dia masih belikan baju raya setiap tahun, malah dia juga yang menjaga emak,” katanya kepada Kosmo! Online selepas majlis pengumuman duta Jakel, semalam.

Menurut Rubytoh atau Ruby, 48, Rozita yang juga anak kedua daripada tujuh beradik itu sangat tenang sepanjang berdepan kontroversi berkenaan.

Melihat semangat kakaknya, dia percaya setiap yang berlaku adalah ujian Allah, bukan musibah besar, sekali gus mampu dihadapi ibu kepada tiga anak itu.

“Sedih memang sedih apatah lagi membabitkan kediaman tempat keluarganya berteduh, tambahan pula rumahnya juga menjadi lokasi keluarga besar kami berkumpul.

“Apabila kami adik-beradik tanya dia okey ke? Kak Ta hanya menjawab Allah ada. Ada juga dia cerita serba sedikit situasi sebenar tetapi kami tak boleh kongsikan kepada umum.

“Orang tak tahu cerita tapi apabila berdiam, dia dihentam. Hanya dia yang tahu kebenaran dan bagi saya ini bukan musibah buat Kak Ta, sebaliknya ujian untuk Allah angkat lagi darjat dia kerana Allah tahu dia mampu harunginya,” ujarnya.

Sementara itu, adik iparnya yang juga anggota Senario, Mazlan berharap orang ramai jangan berterusan menghentam seseorang sehingga sanggup mengeluarkan perkataan kasar.

Katanya, sejak berkahwin dengan Ruby lebih 16 tahun lalu dia melihat kakak iparnya sebagai individu berkeperibadian baik selain tidak berkira sama ada dengan orang luar mahupun keluarga.

“Kak Ta suka berkumpul adik-beradik sama ada di rumahnya atau di kampung. Nanti kalau semua ada dia yang beriya-iya tempah katering kerana tak nak susahkan ahli keluarga memasak.

“Dia juga pemurah, bahkan pernah kami umrah beramai-ramai Kak Ta yang kerap belanja terutama bab makan dan sebagainya.

“Jadi netizen tak baik hentam dan buka aib dia sedangkan mereka tak kenal pun keperibadian Che Ta macam mana,” katanya.

Pada 10 Disember tahun lalu, kediaman Rozita di Kota Damansara, Petaling Jaya didatangi pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan dakwaan gagal melunaskan pinjaman hampir RM1 juta.

Ketika itu dia didakwa masih belum tampil bertemu pihak berkenaan untuk berbincang mengenai penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman berjumlah RM960,000 dibuat syarikat miliknya, RCW Worldwide Sdn Bhd.

Susulan itu, bahagian undang-undang Mara dilapor dalam proses pemfailan kebankrapan terhadap Rozita dan anak sulungnya, Ammar Effendy yang gagal membayar pinjaman.

Pada 24 Disember, acara lelongan awam membabitkan 34 barangan milik Rozita dengan jumlah keseluruhan bernilai RM902,012.46 sepatutnya diadakan, namun ditangguh atas permohonan pelakon itu.

Begitupun, pada 29 Disember dia dikatakan sudah melunaskan hutang tersebut menerusi tangkap layar mesej bersama anak bongsunya, Aaisyah Dhia Rana, 10, di aplikasi Whatsapp. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI