fbpx

Sambutan menggalakkan Ride 4 Your Heart 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMIRUDIN (belakang, enam dari kiri) menyempurnakan pelepasan acara kayuhan berbasikal IJN-KHK LAND Ride 4 Your Heart di Bukit Anyara hari ini.

KUALA LUMPUR – Penganjuran IJN-KHK LAND Ride 4 Your Heart 2025 berjaya menarik lebih 1,500 peminat sukan berbasikal sekali gus menyokong kempen kesihatan jantung dan kehidupan yang aktif.

Menariknya, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyempurnakan pelepasan acara yang Berjaya menghimpunkan peserta dengan pelbagai latar belakang di Bukit Anyara, Semenyih hari ini.

Amirudin memberi sokongan padunya dan menganggap acara itu sebagai inisiatif menggalakkan kesihatan jantung dan gaya hidup lebih sihat selain menjadi aktiviti pelancongan sukan yang akan diberi tumpuan sempena Tahun Melawat Selangor 2025.

“Program seperti ini sudah menjadi sebahagian aktiviti lazim bagi rakyat Malaysia terutama di Lembah Klang. Sebelum Covid-19, acara larian dan berbasikal antara aktiviti sangat digemari masyarakat pada hujung minggu.

“Hari ini, jumlah (peserta) yang menyertai aktiviti seperti ini hampir sama dengan keadaan sebelum Covid-19. Ini menunjukkan masyarakat sudah kembali kepada (kehidupan) seperti sebelum Covid-19,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan acara pelepasan hari ini.

PARA peserta memulakan acara berbasikal IJN-KHK LAND Ride 4 Your Heart yang berlepas di Bukit Anyara hari ini.

Dianjurkan dengan kerjasama antara Institut Jantung Negara (IJN) dan KHK LAND, acara itu menampilkan tiga kategori kayuhan iaitu 115km, 60km dan Fun Ride sejauh 18km.

Laluan sejauh 115km mencabar peserta dengan bentuk muka bumi yang sukar melalui Banjaran Titiwangsa, Peres, Kuala Klawang, dan Broga.

Laluan 60km memenuhi keperluan peminat berbasikal, manakala Fun Ride sejauh 18km memberikan pengalaman santai untuk keluarga dan mereka yang mula meminati sukan berbasikal.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Ezani Md. Taib berharap acara berbasikal seperti IJN-KHK LAND Ride 4 Your Heart dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pentingnya menjaga kesihatan terutama jantung.

“Dengan hampir 70 peratus kes penyakit jantung tidak didiagnosis awal sehingga terlambat, intervensi awal dan pemeriksaan berkala amat penting.

“Atlet khususnya tidak boleh mengabaikan pemeriksaan jantung kerana aktiviti fizikal yang intensif boleh menyebabkan perubahan pada jantung yang memerlukan pemantauan profesional,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI