KUALA LUMPUR – Beregu nombor satu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mencipta sejarah apabila muncul juara Kejohanan Badminton Terbuka India dengan menundukkan pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dalam perlawanan mendebarkan sebentar tadi.
Sze Fei-Izzuddin yang turun selaku pilihan ketiga kejohanan bertaraf Super 750 itu, bangkit daripada tekanan untuk menewaskan Won Ho-Seung Jae dengan keputusan 21-15, 13-21, 21-16 dalam tempoh 52 minit di Kompleks Sukan Indira Gandhi, New Delhi.
Kemenangan tersebut menjadi penawar duka pasangan profesional itu selepas mereka menampilkan aksi kurang memuaskan di Terbuka Malaysia minggu lalu, apabila mereka tersingkir seawal pusingan pertama kepada gandingan Denmark, Daniel Lungaard-Mads Vestergaard, 15-21, 21-9, 21-18.
Hasil kemenangan tersebut, Sze Fei-Izzuddin membawa pulang hadiah bernilai AS$70,300 (kira-kira RM316,700), manakala pasangan Korea Selatan itu menerima AS$33,250 (RM149,836).
Pada set pertama, pasangan ranking kedua dunia itu mempamerkan aksi bertenaga, hanya memerlukan 15 minit untuk melakar kemenangan 21-15.
Namun, di set kedua menyaksikan kebangkitan Won Ho-Seung Jae yang bijak memanfaatkan kesilapan beregu negara, sekaligus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Tidak mahu melepaskan peluang, Sze Fei-Izzuddin tampil lebih kemas pada set penentuan dengan mengurangkan kesilapan mudah, sebelum menamatkan perlawanan dan memastikan gelaran juara milik mereka.
Kemenangan tersebut menjadi permulaan cemerlang untuk musim 2025, melengkapkan senarai kejayaan mereka selepas menjuarai Terbuka Jepun, Terbuka China, dan Terbuka Artik pada musim lalu.
Sebagai rekod, kali terakhir beregu lelaki negara meraih gelaran di Terbuka India adalah pada 2010 menerusi gandingan Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari.
Legenda perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei pula menjadi wakil terakhir Malaysia muncul juara iaitu pada 2014 selepas menewaskan seteru dari China, Chen Long 21-13, 21-17.