TANJUNG MALIM – Seekor rusa jantan seberat 120 kilogram yang mengalami kecederaan selepas dipercayai dilanggar kenderaan berjaya diselamatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) semalam.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, rusa jantan yang dianggarkan berusia 12 hingga 13 tahun itu ditemui pegawai Perhilitan Daerah Tapah di tepi Jalan Sungkai-Slim di sini pada pukul 9.20 malam.
Katanya, pegawai berkenaan ketika itu sedang dalam perjalanan untuk menjalankan operasi tembak babi hutan.
“Rusa yang cedera dipercayai dilanggar kenderaan itu mengalami kecederaan patah kaki kanan bahagian hadapan.
“Ia kemudiannya dimasukkan ke dalam kotak sebelum dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan di Sungkai untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan, seekor anak gajah jantan mati dipercayai dilanggar kenderaan berat di Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli berhampiran kawasan simpang Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun, Gerik.
Pada Khamis lalu, seekor harimau dahan ditemui mati di Jalan Tapah-Bidor juga dipercayai dilanggar sebuah kenderaan berat. – K! ONLINE