INDUSTRI kejuruteraan di Malaysia semakin berkembang pesat yang didorong oleh kemajuan teknologi, globalisasi dan perubahan dalam keperluan pasaran.
Bagi memastikan negara kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa, sektor tersebut memerlukan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan luas, tetapi juga memiliki kemahiran praktikal yang relevan dengan tuntutan industri masa kini.
Untuk memastikan graduan kejuruteraan tempatan dapat memenuhi cabaran industri masa hadapan, tiga aliran utama dalam pendidikan tinggi telah diperkenalkan secara terancang dan teliti iaitu Sains, STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional).
Tiga aliran ini merupakan corak penentu dan tunjang kepada pembentukan tenaga kerja yang diperlukan oleh industri.
Setiap aliran ini membawa pendekatan yang berbeza, namun dengan pendekatan holistik yang menyatukan ketiga-tiganya supaya ia dapat melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga berkemahiran tinggi dan bersedia untuk menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).
Keberkesanan dalam membentuk graduan kejuruteraan yang berkualiti tidak hanya bergantung pada satu aliran pendidikan sahaja. Setiap pendekatan aliran Sains, STEM, dan TVET memiliki kekuatan tersendiri yang memberi sumbangan penting kepada ekosistem pendidikan kejuruteraan di Malaysia.
Namun sebelum itu, kita perlu tahu apakah pendekatan yang ketara untuk ketiga-tiga pendekatan ini.
Aliran Sains menyediakan asas teori kukuh yang sangat penting untuk memahami prinsip-prinsip kejuruteraan yang lebih kompleks.
Pelajar yang mengikuti aliran ini lebih cenderung untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dan menyelami konsep-konsep teori dalam kejuruteraan yang lebih mendalam.
Pendekatan STEM pula, menyatukan ilmu pengetahuan daripada pelbagai disiplin untuk membentuk graduan yang serba boleh dan bersedia menghadapi cabaran dunia yang semakin berteknologi tinggi.
Pendekatan itu membolehkan pelajar memahami kaitan antara teori dan aplikasi praktikal yang sangat penting dalam pembangunan teknologi masa depan.
Di samping itu, TVET memberi penekanan kepada kemahiran teknikal yang praktikal dan terus bersesuaian dengan keperluan industri. Program TVET mempersiapkan graduan untuk masuk ke dalam dunia pekerjaan dengan kemahiran teknikal yang relevan dan memberi sumbangan langsung kepada pembangunan industri.
Bagi melahirkan graduan kejuruteraan yang memenuhi permintaan masa hadapan, penguasaan ilmu teori semata-mata tidak mencukupi dalam era yang serba pantas ini. Graduan perlu mengaplikasikan pengetahuan mereka dalam situasi dunia sebenar.
Di sini, pendekatan holistik yang melibatkan integrasi pendekatan STEM dan TVET diharap dapat memastikan pelajar tidak hanya menguasai teori, tetapi juga mengasah kemahiran praktikal yang relevan dengan keperluan industri.
Pendekatan holistik ini akan memastikan bahawa pelajar bukan sahaja memiliki pengetahuan berkaitan teori, tetapi juga berkemahiran tinggi dalam teknologi terkini dan mampu bekerja secara praktikal dalam dunia kejuruteraan.
Ia sangat penting kerana industri kejuruteraan di Malaysia memerlukan tenaga kerja yang mampu menyesuaikan diri dengan cabaran teknologi yang pesat berubah. Pendekatan pendidikan yang holistik dalam aliran Sains, STEM dan TVET adalah kunci untuk membentuk graduan kejuruteraan yang memenuhi keperluan industri moden.
Setiap aliran pendidikan ini mempunyai peranan penting dalam menyediakan pelajar dengan pengetahuan teori, kemahiran praktikal dan keupayaan untuk berinovasi. Dengan mengintegrasikan ketiga-tiga aliran ini, Malaysia dapat memastikan bahawa graduan kejuruteraan negara bukan sahaja bersedia untuk menghadapi cabaran semasa, tetapi juga mampu menghasilkan inovasi dan perkembangan industri di masa hadapan.
Pengaplikasian pengetahuan ketiga-tiga aliran ini dapat menonjolkan keseimbangan antara pengetahuan dan daya kepimpinan, sekali gus memajukan diri serta memberi sumbangan bermakna kepada negara.
Secara keseluruhannya, kerjasama yang lebih erat antara pihak kerajaan, institusi pendidikan dan industri adalah penting untuk memastikan pendekatan holistik ini dapat dilaksanakan secara berkesan, menghasilkan tenaga kerja yang lebih berdaya saing dan mampu menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.