NEW DELHI – Satu klip video tular di media sosial memaparkan seorang penumpang di India mengamuk kerana pemandu e-hailing terlewat menjemputnya selama tujuh minit, lapor stesen penyiaran NDTV semalam.
Rakaman dimuat naik di platform X oleh akaun @Incognito_qfs memaparkan wanita itu menengking dan menghina pemandu berkenaan.
Meskipun dihina, pemandu tersebut masih kekal tenang dan memintanya keluar daripada kenderaan itu serta mencari penghantar lain.
Lebih memburukkan keadaan apabila wanita itu meludah ke arahnya dan enggan keluar daripada kereta.
Klip video itu mencatatkan lebih 738,000 tontonan dan menimbulkan kemarahan ramai pengguna media sosial.
“Dia (wanita berkenaan) perlu diharamkan oleh semua perkhidmatan teksi dan e-hailing,” kata seorang netizen.
“Saya sangat terkejut apabila wanita itu menghina keluarganya (pemandu). Polis sila tangkap!” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI