PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat dan angin kencang di tiga negeri sehingga pukul 6 petang ini.
MetMalaysia memaklumkan dalam kenyataan hari ini, negeri yang terlibat dengan keadaan ini adalah Selangor, Johor dan Sarawak.
“Di Selangor, ribut petir diramalkan berlaku di Kuala Selangor, Klang dan Kuala Langat, manakala, di Johor pula, cuaca buruk ini meliputi Muar dan Batu Pahat,” katanya.
Bagi Sarawak pula, ribut petir dijangka melanda Bintulu (Bintulu dan Sebauh) dan Miri (Subis, Beluru dan Miri).
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter sejam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE