WASHINGTON – Berpuluh-puluh ribu penunjuk perasaan berarak dan berhimpun di Washington, D.C. bagi membantah pelantikan Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baharu, Donald Trump, lapor agensi berita United Press International kelmarin.
Protes dinamakan People’s March itu bermula secara rasmi pada pukul 10 pagi (waktu tempatan) di beberapa lokasi seperti Franklin Park, Farragut Square dan McPherson Square.
Setiap lokasi dikhususkan kepada isu tertentu termasuk imigran, demokrasi, hak-hak wanita dan perubahan iklim.
“Perarakan ini akan menjadi hari penentangan yang menggembirakan, pembinaan komuniti dan tindakan yang berkuasa.
“Bersama-sama, kita akan berarak untuk mengingatkan negara bahawa kuasa sebenar terletak pada rakyat dan penentangan kita tidak goyah,” kata laman web perarakan itu.
Penganjur menyasarkan untuk mengumpul seramai 50,000 penunjuk perasaan bagi demonstrasi tersebut tetapi Jabatan Polis DC menganggarkan kira-kira 25,000 orang terlibat, lapor akhbar The Guardian.
Penunjuk perasaan berarak di sepanjang National Mall ke Lincoln Memorial bermula pukul 1 tengah hari hingga 3 petang (waktu tempatan) untuk ‘menghadapi Trumpisme’.
Sementara itu, Trump mendarat di Washington kelmarin sebelum majlis rasmi pelantikannya, dengan jutawan daripada Parti Republikan itu bersedia untuk menghadiri beberapa siri acara dan sambutan sebelum kembali memasuki White House.
Trump yang tiba bersama isterinya, Melania dan ahli keluarga lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Dulles, menuju ke beberapa acara peribadi termasuk pertunjukan bunga api di kelab golf miliknya di luar Washington. – AFP