SEREMBAN – Seorang wanita maut manakala seorang lelaki cedera parah selepas kereta yang dinaiki merempuh bahagian belakang sebuah treler rosak yang berhenti di lorong paling kiri dalam kejadian berlaku di Kilometer (KM) 282.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah ke Melaka, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pada jam lebih kurang 4.20 pagi, telah berlaku satu kemalangan maut yang melibatkan sebuah treler dengan sebuah kereta.
“Siasatan awal mendapati semasa kejadian sebuah treler jenis Sinotruk tanpa muatan yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 34 tahun dalam perjalanan dari Port Klang menghala ke Melaka.
“Treler tersebut telah mengalami kerosakan lalu berhenti di lorong paling kiri. Tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 40 tahun telah melanggar bahagian belakang sisi kanan treler tersebut,” katanya kepada pemberita di sini.
Akibat kemalangan itu katanya, pemandu kereta mengalami kecederaan parah di kepala sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Penumpang kereta seorang perempuan berumur 35 tahun pula mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan dan telah disahkan meninggal dunia ditempat kejadian,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE