fbpx

Kekuatan jenama Variante peneraju fesyen sopan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Model memperagakan koleksi pakaian terbaharu Variante untuk promosi hari raya tahun 2025.

Pengalaman selama 20 tahun dalam bidang fesyen dan mempelopori rekaan pakaian sopan, Pengasas jenama Variante, Leslie Variyan kini semakin matang untuk berdepan dengan pelbagai cabaran dalam industri tersebut, malah turut berjaya berdiri kukuh beroperasi melalui outlet premium di beberapa pusat ­beli-belah utama di Lembah Klang.

Lebih menarik, usahawan tersebut kini bergelar ‘master’ untuk koleksi pakaian sedia dipakai (ready to wear) yang membawa revolusi fesyen berkualiti tinggi dan relevan dengan gaya hidup moden.

Perjalanan kerjayanya sebelum ini terlibat dalam beberapa jenama popular seperti Isetan Kuala Lumpur dan Ms Read, seterusnya mencatat kejayaan dalam penganjuran pertunjukan fesyen berprestij, kerjasama dengan ikon-ikon fesyen dan menjadi rujukan utama untuk modest wear di negara ini.

Koleksi jenama Variante yang kini terkenal di Singapura dan Brunei itu sedang sibuk membuat persiapan untuk mempromosikan fesyen terbaharunya berkonsepkan Gemilang Raya untuk sambutan Ramadan dan Syawal.

“Apabila saya memegang sesuatu material dan merasai kelembutannya, sekali gus saya boleh membayangkan penggayaan kain tersebut kepada seseorang. Ia mudah bagi saya.

“Setelah berjaya mereka bentuk dan menghasilkan satu koleksi yang bermutu, ia akan memberi satu kepuasan yang mendalam kepada diri saya,” katanya dalam satu temu bual melalui e-mel baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh jelaskan secara ringkas tentang perkembangan Variante?
Leslie Variyan: Kami telah berada dalam industri ini selama 20 tahun yang mana butik pertama kami dibuka pada Januari tahun 2005.

Saya berbesar hati untuk memaklumkan bahawa kami telah menjadi jenama yang dite­rima baik sebagai peneraju dalam fesyen pakaian yang sopan.

Variante adalah label fesyen pakaian sopan yang paling popular dan kini boleh didapati di Variante Pavilion Kuala Lumpur (KL), Isetan KLCC, Sogo Kuala Lumpur, Melawati Mall, Pusat Beli-belah Alamanda Putrajaya dan SACC Mall Shah Alam. Pelbagai koleksi jenama ini juga boleh didapati secara online.

Apakah pencapaian terbaik syarikat dalam industri fesyen pada tahun lepas?
Sebagai jenama popular, saya percaya pencapaian terbesar kami terletak pada keupayaan untuk secara konsisten meme­nuhi permintaan dan keperluan pasaran sambil kekal relevan dalam industri fesyen yang sentiasa berkembang.

Memahami dan melangkaui jangkaan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan utama kami. Sebagai peneraju dalam fesyen pakaian sopan, kami benar-benar memahami keperluan unik pelanggan dengan mendalam.

Tambahan pula, kami berjaya mencatatkan jualan rekod tahun lepas, menghampiri angka lapan digit.

Pencapaian ini menjadi bukti daya tahan dan kemam­puan kami untuk menyesuaikan diri, terutama selepas mengharungi cabaran era pandemik termasuk penutupan tiga butik semasa pandemik.

Bagaimana pengoperasian syarikat pada masa sekarang, berapa cawangan dan tenaga kerja yang dimiliki?
Sepanjang tahun, kami telah membina jenama Variante dengan pemilikan beberapa outlet. Beberapa butik kami berada di dalam gedung serbaneka, manakala yang lain adalah butik berdiri sendiri.

Kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri yang memenuhi keperluan semua pe­langgan. Ahli pasukan kami diberikan latihan secara berkala untuk membantu pelanggan mendapatkan apa yang mereka perlukan.

Kami mempunyai tenaga kerja seramai 30 orang, semuanya terlatih dan cekap dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Kami juga mengekalkan hubungan yang baik dengan para pembekal, hubungan yang telah kami bina selama bertahun-tahun.

Hubungan baik ini memastikan kami mendapat pilihan fabrik yang terbaik dan pertama. Kualiti adalah sangat penting kerana kami ingin memastikan setiap pakaian dihantar dalam keadaan yang sempurna. Hubungan kukuh yang dibina selama ini membolehkan kami mengekalkan kualiti yang tinggi.

Selain bidang fesyen, apakah lagi cabang bisnes yang dijalankan, mungkin syarikat meneroka bidang peruncitan atau hartanah untuk kelangsungan masa depan?
Pada masa ini, fokus utama kami kekal dalam industri ­fesyen. Namun, kami sentiasa terbuka untuk meneroka peluang baharu, termasuk potensi kerjasama sama ada dengan pihak dalam industri yang sama atau industri yang berbeza, asalkan ia selari dengan visi jenama Va­riante untuk terus berkembang dan ­relevan.

Apakah perancangan syarikat pada tahun ini termasuk penganjuran peragaan atau pameran fesyen?
2025 adalah tahun yang istimewa kerana kami menyambut ulang tahun ke-20 Variante. Kami merancang untuk menganjurkan beberapa acara, termasuk pertunjukan fesyen eksklusif dan kempen khas yang memperlihatkan perkembangan jenama kami sepanjang dua dekad.

Selain itu, kami juga sedang merancang untuk melancarkan koleksi baharu yang menampilkan elemen kelestarian sejajar dengan komitmen kami terhadap fesyen mesra alam.

Apakah trend fesyen tahun ini dan adakah industri ini akan tumbuh berganda?
Industri fesyen sememang­nya sangat menarik. Saya melihat trend bergerak ke arah yang positif. Dengan adanya internet, sesiapa sahaja di mana-mana sahaja di dunia boleh membeli Va­riante.

Memahami garis halus antara trend pasaran dan trend fesyen adalah kunci. Trend fesyen terbaik adalah pakaian yang membuat pelanggan bersedia untuk berbelanja. Warna trend pula adalah warna yang dipilih oleh pelanggan untuk dibeli.

Bagi saya, trend dunia hanyalah sebagai rujukan dan mencari keseimbangan antara trend dan permintaan adalah matlamat utama kami. Kami sangat teruja dan positif pada tahun 2025 dengan penuh harapan.

Sebagai pelopor fesyen Muslimah, bagaimana Variante melihat perkembangan dunia fesyen tersebut?
Saya benar-benar terinspirasi untuk terus berkarya dan mewarnai dunia. Permintaan untuk pakaian sopan sangat besar, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI