PETALING JAYA – Rakan lelaki orang kelainan upaya (OKU) kategori mental yang cedera dibelasah di Padang Astaka, Chukai tampil menceritakan, mangsa diuji dengan gangguan kesihatan mental selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Engku Fadzli menerusi hantaran Facebook berkata, lelaki OKU tersebut yang mesra dipanggil Paijang merupakan sahabatnya sewaktu bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu.
“Kami panggil dia Paijang. Seorang yang sangat kami hormati ketika sekolah, sebab dia sangat aktif dalam sukan terutama hoki. Semua orang kenal dia di sekolah.
“Namun lepas SPM, dia diuji dengan gangguan mental. Keadaan dia ‘on, off’ selepas tu. Ada masa okay, ada masa tak okay. Nasib dia tak baik. Dia juga merupakan seorang suami dan seorang ayah. Dia memang OKU.
“Tapi setahu kami dia tak pernah bertindak ganas, cuma mulut saja kadang-kadang bising dan kasar. Kebiasaannya dia sangat ‘happy’ orangnya dan suka bergurau. Selalu buat kelakar,” katanya pada hantaran panjang lebar pada Facebook.
Engku Fadzli berkata, dia dan Paijang masih berhubung sehingga kini, malah mengikuti perkembangan antara satu sama lain menerusi ‘group’ di dalam aplikasi WhatsApp terdiri daripada rakan sekolah mereka.
“Tengah hari semalam (Jumaat) ‘group’ WhatsApp kami dikejutkan dengan video tular Paijang dipukul di Pasar Pagi, Padang Astaka, Kemaman.
“Lepas tu salah seorang daripada kami dapat ‘call’ daripada adik Paijang memaklumkan dan mengesahkan perkara tersebut. Hancur luluh hati kami melihat Paijang diperlakukan sebegitu.
“Tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan tidak bermaruah. Yang lebih menyedihkan, mereka memang tahu Paijang seorang OKU,” katanya.
Engku Fadzli mendakwa, menerusi salah satu video yang tular, kedengaran seorang lelaki berbaju hitam menghalang orang awam memukul Paijang.
“Terima kasih abang baju hitam sebab menolong Paijang dalam keadaan Paijang lemah. Tapi ‘samseng-samseng’ itu masih terus menganiaya Paijang. Hanya orang dayus dan bacul sahaja yang sanggup pukul OKU. Dah tahu Paijang ada masalah mental, kenapa perlu marah dan ‘provoke’ dia?
“Sepatutnya bantu dan tolong. Kemudian baru bincang macam mana nak selesai. Kalau Paijang tak boleh dibawa bincang masa tu, tunggu polis datang. Bukannya lepaskan perasaan pukul Pijang ikut nafsu syaitan,” katanya dengan kesal.
Katanya, selagi Paijang tidak mendatangkan ancaman secara fizikal, tidak ada seorang pun dalam dunia ini yang berhak melakukan tindakan sebegitu ke atas rakannya.
“Kamu semua juga dah tahu dia OKU. Kamu semua patut bantu dia. Mana akal dan iman kamu semua? Tindakan kamu semua sangat memalukan Islam, memalukan Melayu. Memalukan Terengganu,” katanya.
Sementara itu, Engku Fadzli berkata, dia mewakili bekas rakan-rakan sekolah Paijang berharap pihak Polis Diraja Malaysia dapat memberikan keadilan kepada mangsa serta mengambil tindakan sewajarnya kepada pelaku.
“Kepada pemilik gerai, pelbagai kutipan derma sedang dijalankan bagi meringankan beban kerugian anda. Semoga masalah antara Paijang dan tuan gerai dapat diselesaikan dengan baik.
“Kepada ‘samseng-samseng’ yang terlibat, semoga anda semua mendapat balasan yang setimpal dan diberikan keinsafan oleh Allah SWT.
“Kepada Paijang, semoga Allah lindungi Paijang dan berikan kesembuhan kepada Paijang. Sahabat-sahabat Paijang sedang membantu dari setiap segi, perundangan, kesihatan, kebajikan dan segalanya.
Tambahnya, Paijang kini ditempatkan di Wad Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk tujuan rawatan dan penilaian. – KOSMO! ONLINE