KEMAMAN – Keghairahan sembilan lelaki termasuk seorang warga emas berusia 70 tahun dipercayai sedang berjudi daun terup terbantut selepas diserbu polis di Jeti Kuala Kemaman di sini pada kelmarin.
Kesemua suspek berusia 40 hingga 70 tahun ditahan ketika dipercayai sedang berjudi di sebuah pondok di jeti berkenaan pada pukul 6.30 petang.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, serbuan dilakukan selepas pihak polis mendapat aduan berhubung aktiviti menyalahi undang-undang tersebut daripada orang awam.
“Serbuan berjaya merampas daun terup dan wang tunai berjumlah RM150 yang dipercayai digunakan untuk pertaruhan.
“Kemua sembilan suspek juga masing-masing telah dikompaun RM1,000 akibat melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Hanyan berkata, suspek-suspek telah ditahan reman selama tiga hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – K! ONLINE