PETALING JAYA – Nestle Malaysia akan meneruskan projek kutipan dan kitar semula pintu ke pintu di Pulau Pinang dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Sebelum ini syarikat telah berjaya melaksanakan projek tersebut di lima kawasan di perbandaran Selangor.
Ini adalah sebahagian daripada Projek Save, Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (EPR) yang dilaksanakan secara sukarela dan usaha ini dirangka untuk meningkatkan pengutipan dan pengitaran semula sisa pasca-pengguna di Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Eksekutif Neslte, Juan Aranols berkata, peluasan Projek Save ke Pulau Pinang mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi pihaknya terhadap pengawasan alam sekitar dan wawasan untuk mewujudkan negara Malaysia yang bebas sisa.
Menurut beliau, dengan melibatkan komuniti dan berganding bahu dengan pihak-pihak berkepentingan seperti MBPP, Nestle tekad untuk melaksanakan inisiatif yang membawa kesan bermakna untuk mengurangkan sisa, menggalakkan kitar semula dan menyediakan landasan bagi membina negara yang lebih lestari.
“Ini adalah sebahagian daripada komitmen syarikat untuk mencapai keneutralan plastik dan memastikan tiada pembungkusan kami, termasuk plastik disalurkan ke tapak kambus tanah atau menuju ke laut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Untuk merealisasikan projek berkenaan, satu majlis memeterai memorandum persefahaman antara Nestle dan MBPP telah dilaksanakan.
Usaha sama ini akan melanjutkan Projek Kutipan dan Kitar Semula Pintu ke Pintu kepada lebih daripada 13,000 isi rumah membabitkan 39 unit kondominium dan dua kawasan perumahan bertanah menjelang 2025.
Perjanjian ini menekankan komitmen yang dikongsi bersama untuk membangunkan ekosistem pengurusan sisa lestari bagi Pulau Pinang.
Selain memberikan sokongan operasi, kerjasama tersebut mengutamakan penglibatan masyarakat menerusi Kempen Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA), yang bertujuan mewujudkan kesedaran dan menggalakkan penyertaan aktif dalam amalan pengurusan sisa lestari dalam kalangan penduduk, lantas memupuk persekitaran yang lebih bersih dan hijau untuk semua.
Sejak fasa perintis dilancarkan di George Town secara khususnya di kawasan Tanjung Tokong dan Jelutong pada Januari 2024, program ini telah berjaya melibatkan lebih daripada 14,000 isi rumah meliputi dua kawasan kediaman bertanah dan 21 hartanah strata.
Berbekalkan kerjasama Penang Green Council dan ESH Resource Management Sdn Bhd, projek perintis ini telah berjaya mengutip 160 tan bahan kitar semula kering bercampur, termasuk 28 tan plastik.
Sejak dilancarkan pada 2020, Project SAVE telah diperluas untuk menjadi inisiatif EPR sukarela terbesar di Malaysia menerusi kerjasama dengan majlis bandaraya tempatan termasuk Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan pemegang konsesi Alam Flora Environmental Solutions Sdn Bhd (AFES).
Kini, program tersebut telah mencapai kira-kira 200,000 isi rumah di enam bandar raya dan sudah mengelakkan 31,000 tan sisa pembungkusan pasca pengguna daripada disalurkan ke kambus tanah dan lautan, termasuk 21,000 tan plastik.-KOSMO! ONLINE