LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui pasukannya bagaikan hilang sesuatu ketika mereka mensia-siakan kelebihan mendahului dengan dua gol ketika diikat Aston Villa 2-2 pada aksi di Villa Park awal pagi semalam.
The Gunners mempamerkan aksi sempurna apabila meledak gol pembukaan menerusi Gabriel Martinelli pada babak pertama dan tambahan jaringan melalui Kai Havertz selepas 10 minit babak kedua bermula.
Bagaimanapun, mereka hilang momentum selepas gol kedua tersebut apabila membenarkan Villa bangkit menjaringkan dua gol dalam tempoh lapan minit menerusi Youri Tielemans dan Ollie Watkins.
“Kami menyerang dan bertahan pada garisan yang tinggi. Namun, saya fikir kami seperti kehilangan sesuatu kerana garisan yang kami lakukan itu terlalu rapuh dan kami perlu mencari puncanya.
“Cara kami bolos pada perlawanan ini, bukanlah kerana cara kami bermain. Kami menunjukkan disiplin, komitmen, keinginan dan kualiti, tetapi apabila menentang pasukan seperti Villa, kami masih dihukum kerana kesilapan kecil dan kami tidak boleh mengulanginya lagi,” katanya.
The Gunners hampir meraikan gol kemenangan pada lewat permainan selepas Havertz berjaya menembusi gawang Villa, namun semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati bola terkena tangan Mikel Merino sebelum jaringan itu terhasil.
Mengulas mengenai persaingan dengan Liverpool untuk memburu kejuaraan musim ini, Arteta mengakui Arsenal tidak mampu menyaingi pasukan itu yang memiliki skuad lebih lengkap untuk mengharungi musim.
Jelasnya, beliau sangat kecewa kerana tidak mampu membuat banyak pertukaran ketika para pemain berdepan isu kepenatan apabila terpaksa beraksi dalam tiga perlawanan dalam tempoh enam hari. – AGENSI