KELAB tempatan membuang sikap ego dan malu untuk menambah ilmu baharu dalam beberapa perkara yang mampu untuk meningkatkan kualiti pemain tempatan.
Kehadiran Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Harimau Malaya, Dr. Craig Duncan yang memiliki pengalaman luas di beberapa negara seluruh dunia wajar dimanfaatkan oleh semua pihak khususnya jurulatih atau individu berkaitan.
“Mempunyai model prestasi tinggi yang disusun dengan baik, kita boleh bawa (pemain) ke arah lebih baik. Juga dalam meningkatkan kemahiran semua orang di negara ini, iaitu mereka yang terlibat dalam perkara membabitkan prestasi tinggi.
“Saya begitu teruja untuk jumpa semua orang dan kami mahu mereka tahu kehadiran kami di sini adalah untuk menyokong mereka di peringkat kelab.
“Mereka boleh hubungi saya, kami boleh berikan perkhidmatan terbaik untuk pemain di negara ini,” kata Duncan.
Sebelum ini, Duncan sudah menyatakan misinya untuk menjadikan skuad kebangsaan Malaysia sebagai salah satu pasukan paling cergas di Asia.
Pasukan kebangsaan kini dalam fasa ‘revolusi’ dan telah diberi sasaran utama untuk layak ke Piala Asia 2027 dan memastikan Harimau Malaya berada dalam kelompok 100 negara terbaik dunia.
Berdasarkan pertemuannya dengan individu berkaitan, Duncan percaya segala gerak kerja yang akan dilaksanakan akan membuahkan hasil sekali gus beri impak positif kepada Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski.