fbpx

Polemik WBB: Laksana rundingan profesional, elak perkhidmatan kesihatan terjejas – Cuepacs

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan.

PETALING JAYA – Polemik berkaitan Waktu Bekerja Berlainan (WBB) yang melibatkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan petugas kesihatan perlu diselesaikan secara rundingan profesional tanpa melibatkan media sosial.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, isu ini perlu ditangani segera bagi mengelakkan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat terjejas.

“Cuepacs menyeru kepada semua pihak agar memberi peluang dan ruang kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan kepimpinan tertinggi KKM untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan agar situasi menang-menang dapat dicapai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Adnan, pihaknya telah mengadakan sesi libat urus bersama Menteri Kesihatan pada 6 Januari lalu untuk menyuarakan pandangan pekerja kesihatan di lapangan.

“Berilah peluang kepada menteri untuk menyelesaikan isu ini tanpa sebarang tekanan yang tidak perlu seperti ugutan dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan agar KKM berunding dengan persatuan atau kesatuan yang sah seperti Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang mewakili pegawai perubatan untuk mencapai penyelesaian terbaik.

“Cuepacs menasihatkan agar semua Petugas Kesihatan memberi kerjasama penuh kepada KKM agar tidak membuat sebarang kenyataan bersifat provokasi bagi menggugat keharmonian hubungan pekerja dengan majikan.

“Cuepacs percaya polemik yang berlaku ketika ini akan dapat ditangani dengan situasi menang-menang kepada semua pihak,” katanya.

Beliau turut menyeru semua petugas kesihatan untuk terus melaksanakan tugas dengan semangat profesionalisme tinggi demi kesejahteraan rakyat dan negara.

WBB merupakan cadangan jadual kerja baharu yang dirangka oleh petugas KKM menerusi siri libat urus sejak 22 Januari 2024. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI