TELUK BAHANG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berharap isu berkaitan penjualan makanan sandwic berlabel ‘Ham & Cheese’ yang diragui status halalnya di sebuah kedai serbaneka di sebuah universiti awam tidak lagi diperbesarkan.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia berkata, ini kerana pihak rangkaian jualan runcit tersebut juga telah mengambil tindakan yang proaktif untuk menarik penjualan balik makanan berkenaan.
“Mungkin ini satu kesilapan dan kita harap ia jadi satu pengajaran yang baik,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) merasmikan majlis penutup pemukiman KKDW 2025, di sini hari ini.
Pada 10 Januari lalu, Universiti Malaya (UM) menutup dua premis jualan runcit 24 jam serta-merta berikutan dakwaan penemuan produk pek sandwic yang diragui halal.
Menurut Ahmad Zahid, tindakan UM yang menutup serta-merta dua premis jualan runcit di kampus itu yang menjual sandwich ham adalah satu tindakan segera.
“Saya yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal yang menjalin kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah melakukan beberapa saranan supaya perkara-perkara yang menyentuh soal agama ini harus dielakkan.
“Kita serahkan kepada pihak Jakim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup serta Polis Diraja Malaysia untuk melakukan tindakan susulan,” katanya. – KOSMO! ONLINE