DILAHIR dan dibesarkan dalam keluarga yang bergiat aktif dalam kesenian menjadi titik tolak kepada Nurfatihah Mohd. Shukri, 23, untuk turut sama meminati bidang tersebut sejak kecil hingga melangkah ke universiti.
Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, sejak kecil lagi dia didedahkan dengan kesenian dan dari situ telah timbul rasa minat dalam bidang tersebut terutamanya puisi.
“Datuk saudara saya ada Kumpulan Gitar Rancak sendiri, manakala pak cik sepupu saya merupakan penggiat seni Dendang Anak Selangor dan kebudayaan asli Melayu.
“Seni ini bagi saya adalah tempat ‘escape’ yang amat berharga untuk lari dari kesibukan dan tekanan belajar.
“Ia memberi ruang kepada saya untuk berehat sejenak dan menenangkan fikiran setelah penat menghadapi tekanan belajar,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab (Dengan Kepujian), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kepada K-Kampus saat ditemu bual.
Nurfatihah yang aktif menyertai pertandingan puisi sejak di bangku sekolah rendah berkata, dunia seni juga mendorong dirinya menjadi lebih kreatif dan berani.
“Rasa nak menangis, tulis puisi. Rasa nak marah, dengar muzik dan semua itu adalah seni.
“Selain itu, saya juga mendapati bahawa komuniti seni sangat positif dan saling menyokong.
“Golongan ini yang banyak membantu saya sembuh daripada ‘persahabatan toksik’ yang pernah saya lalui suatu ketika dahulu,” katanya.
Baginya, menerusi bidang seni juga dia dapat menonjolkan bakat dan potensi diri serta tidak gentar mencuba perkara baharu.
Jelas gadis itu, seni juga mengajar dia untuk meneroka batas diri dan terus belajar menambah baik segenap perkara dalam kehidupan.
“Dengan menceburi bidang seni, saya dapat menjadi diri sendiri tanpa rasa takut untuk diadili.
“Hal ini kerana, seni itu sendiri memberi kebebasan untuk setiap orang mengekspresikan diri dengan cara yang unik dan tersendiri,” ujarnya.
Meneruskan perkongsian, Nurfatihah yang juga merupakan Yang Dipertua Kelab Citra Puisi (KeRiSZ), UniSZA, menyifatkan seni adalah satu bahasa universal yang mampu menterjemah perasaan tanpa perlu berkata-kata.
Sepanjang pengajian, dia telah menyandang beberapa jawatan antaranya Presiden Performing Arts Leadership; Lajnah Sukan Persatuan Bahasa Alquran; Unit Pengurusan Ahli Persis UniSZA, Setiausaha Majlis Kolej Kediaman B UniSZA, Setiausaha Kelab Citra Puisi KeRiSZ UniSZA dan banyak lagi.
Antara pencapaiannya pula adalah Lantikan sebagai Ejen Perpaduan Negara 2024-2026; Misi Sukarelawan Siswa ke Sabah 2024; Finalis Anugerah Bonang Emas (wanita) 2024; Anugerah Tokoh Kepimpinan Kebudayaan sempena Anugerah Tokoh Siswa UniSZA 2024 dan Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukarelawan 2024.
Tidak setakat itu, dia juga pernah dinobatkan sebagai naib juara pemantun terbaik keseluruhan sempena Temasya Pantun Kolej Kediaman.
Atas jasa dan penglibatan aktif, dia juga pernah dilantik sebagai jurulatih pantun di Sekolah Kebangsaan Darat Batu Rakit di Terengganu mewakili peringkat negeri (johan) dan kebangsaan. Nurfatihah berjanji akan terus memartabat dan memperjuang dunia seni selagi hayat dikandung badan.