WASHINGTON – Aplikasi perkongsian video pendek, TikTok tidak dapat diakses di Amerika Syarikat (AS) beberapa jam sebelum undang-undang baharu yang melarang penggunaannya di negara itu berkuat kuasa, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
Pemberitahuan yang muncul pada aplikasi itu untuk pengguna AS menyatakan bahawa undang-undang yang mengharamkan TikTok telah digubal.
“Malangnya, ia bermaksud bahawa anda tidak boleh menggunakan TikTok buat masa ini,” kata pemberitahuan itu.
“Kami bernasib baik kerana (bakal) Presiden Trump menyatakan bahawa beliau akan bekerjasama dengan kami dalam penyelesaian untuk mengembalikan semula TikTok sebaik sahaja beliau memegang jawatan,” tambahnya.
Pengguna melaporkan bahawa aplikasi itu juga telah dialih keluar dari kedua-dua platform muat turun aplikasi, App Store dan Google Store, manakala pautan TikTok.com juga tidak menunjukkan video.
Ia berlaku selepas platform media sosial itu memberi amaran bahawa ia tidak dapat diakses hari ini melainkan pentadbiran (Presiden Joe Biden) memberi jaminan bahawa larangan itu tidak akan dikuatkuasakan.
Trump sebelum ini berkata, beliau berkemungkinan besar akan memberikan TikTok penangguhan 90 hari daripada larangan itu sebaik sahaja beliau mula berkhidmat sebagai Presiden esok. – AGENSI