JOHOR BAHRU – Seorang guru tadika wanita berputih mata apabila mengalami kerugian lebih RM30,000 akibat terpedaya dengan tawaran kerja sambilan dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa berusia 28 tahun itu tertarik dengan iklan kerja sambilan terbabit di Facebook, Rabu lalu yang menawarkan komisen tinggi bagi tugasan mudah.
“Mangsa telah menekan dua pautan yang disediakan sebelum diberikan nombor akaun bank bagi membuat bayaran. Dia dijanjikan pulangan semula dan deposit akan dikembalikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Raub, mangsa telah melakukan 11 transaksi pembayaran berjumlah RM32,039 dalam tiga akaun bank tempatan berbeza, pada Rabu dan Khamis lalu.
“Walaupun hanya menerima komisen sebanyak RM1,280, mangsa masih diminta untuk buat bayaran tambahan dan menyedari dirinya ditipu setelah gagal keluarkan keuntungan seperti dijanjikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE