RANAU – Seorang anak anggota polis ditemui lemas pada pukul 8.05 malam tadi di Sungai Nopungan, Kampung Minihas malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun itu dijumpai oleh orang kampung selepas dikatakan keluar dari rumah seorang diri sekitar 12.30 tengah hari.
“Bagaimanapun, mangsa disedari tidak pulang ke rumah oleh bapanya kira-kira pukul 5.40 petang pada hari sama. Jarak rumah mangsa dengan tempat kejadian adalah kira-kira 500 meter,” katanya.
Mursalin berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kedalaman sungai terbabit dianggarkan dua meter dan keadaan arus sungai seperti biasa, namun terdapat pusaran air.
“Mangsa dibawa orang kampung ke rumah keluarga tetapi disahkan meninggal dunia oleh doktor Klinik Kesihatan Lohan sekitar pukul 9.10 malam,” katanya. – KOSMO! ONLINE