TELUK BAHANG – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) disaran melaksanakan penilaian pihak ketiga bagi memastikan keberkesanan setiap inisiatif yang dijalankan kementerian itu benar-benar memenuhi keperluan dan harapan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting untuk menilai secara objektif pelaksanaan program yang telah dirancang sekali gus memastikan manfaat yang diberikan menyentuh golongan sasaran dengan impak maksimum.
“Kita mesti memastikan setiap tindakan diambil benar-benar memenuhi keperluan dan harapan rakyat. Pendekatan harus relevan dan KPI harus berpaksikan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pemukiman KKDW 2025 di sini malam tadi.
Ahmad Zahid berkata, beliau juga mahu KKDW memperhebatkan usaha Perkhidmatan Pasca Penyerahan (Post-Delivery Service) dalam setiap program pembangunan, sebagai contoh dalam Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).
“Kita tidak boleh hanya membina rumah dan meninggalkan penerima begitu sahaja. Kita perlu kembali bertemu mereka, membuat susulan, dan bertanya tentang tahap kepuasan mereka,” katanya.
Kata beliau, KKDW akan memberi tumpuan kepada pemerkasaan keusahawanan, pendidikan, reformasi birokrasi, dan keselamatan makanan melalui pelbagai inisiatif.
Katanya, antara sasaran utama melonjakkan potensi usahawan desa ke peringkat global, meningkatkan penyertaan anak Orang Asli dalam institusi pengajian tinggi serta memperluaskan program pendidikan Islam melalui kesinambungan Program Pra-Tahfiz Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) – KOSMO! ONLINE