PETALING JAYA – Biarpun telah sebulan anaknya menghembuskan nafas terakhir selepas terkena renjatan elektrik, seorang wanita masih tidak mampu untuk pulang ke rumah, sebaliknya menumpang di kediaman mentua di Bandar Baru Bangi, Selangor.
Dalam kejadian pada 18 Disember lalu, Muhammad Harith Mohd. Fazrul, 12, ditemukan tidak sedarkan diri dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di sebuah sekolah agama di Serdang kira-kira pukul 6.30 petang.
Wanita berkenaan, Norhidayah Husin, 40 berkata, keputusan meninggalkan kediaman di Dengkil bersama keluarga dibuat kerana perasaan rindu yang masih menebal selain sentiasa teringat kenangan bersama Muhammad Harith.
“Biarpun telah sebulan Muhammad Harith meninggalkan kami, kami masih tidak sanggup pulang ke rumah di Dengkil.
“Sebaliknya, kami sekeluarga tinggal sementara di rumah mertua di Bandar Baru Bangi kerana tidak sanggup melihat barang-barang arwah. Terlalu banyak kenangan bersama Allahyarham yang sukar dilupakan,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Norhidayah yang juga seorang jurutera memberitahu, Muhammad Harith yang lebih mesra dipanggil Harith adalah anak yang ceria, peramah dan berani.
“Dia (Harith) anak yang sangat disenangi ramai dan melayan semua dengan baik, dia boleh ‘masuk’ sama ada dengan yang muda atau pun tua. Dia suka berkawan dengan semua orang.
“Harith juga sangat menyukai kuda dan sentiasa berusaha sendiri untuk merealisasikan minatnya. Pada hujung minggu, dia akan ke ladang kuda di MAEPS Serdang,” katanya.
Bercerita lanjut, Norhidayah memberitahu, kesedihannya berganda apabila anaknya yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Pemimpin Muda Sekolah kategori Pengawas Sekolah Kebangsaan Serdang tidak dapat menerima anugerah itu sendiri.
Katanya, biarpun sebak, namun dia dan suami Mohd. Fazrul Mohd. Nasir memutuskan untuk menerima anugerah tersebut bagi pihak anak mereka.
“Kami kuatkan semangat untuk menerima anugerah bagi pihak Harith. Kami mahu bertemu dengan guru-guru dan rakan-rakan Allahyarham untuk berkongsi momen ini bersama mereka,” katanya.
Sementara itu, bercerita mengenai kejadian malang itu, Norhidayah berkata, dia menerima panggilan daripada guru sekolah dan terus bergegas ke Hospital Serdang sebelum dimaklumkan anaknya telah menghembuskan nafas terakhir.
Katanya, suaminya yang ketika itu berada di sekolah ketika kejadian telah memberikan bantuan pernafasan, namun arus elektrik yang masih mengalir di tubuh anak mereka menyukarkan usaha tersebut.
“Kami semua cuba untuk memberi bantuan, tetapi arwah tidak sempat diselamatkan,” katanya.
@propertyhidayah Semoga Muhammad Harith Tenang di sana. Mummy,Abi,Qalisya & Qaaid akan sentiasa merindui Abang..😭😭😭 #anaksyurga ♬ merisik khabar – ◦•●◉✿💞🇷 🇪 🇪 🇿💞✿◉●•◦