fbpx

Khat seni warisan para anbiya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERDAPAT enam jenis tulisan khat yang popular iaitu Kufi, Naskh, Thuluth, Diwani, Ruq’ah dan Farisi.

ISTILAH khat secara literal bermaksud ‘baris’ atau ‘skrip’ yang merujuk kepada seni kaligrafi Arab yang telah menjadi aspek penting dalam budaya Islam. 

Bentuk penulisan tersebut bukan sahaja mengenai kebolehbacaan, tetapi juga tentang keindahan estetik yang sering digunakan dalam manuskrip, seni bina dan seni hiasan.

Penyepaduan tulisan khat ke dalam tulisan Jawi di Semenanjung Tanah Melayu merupakan hasil semula jadi pengislaman kesultanan Melayu pada abad ke-13.

Bagi memasyarakatkan khazanah tersebut, Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya (UM) menganjurkan pameran seni khat baru-baru ini.

Sebanyak 40 karya gabungan koleksi Muzium Seni Asia, Muzium Etnografi Melayu, Persatuan Seni Khat Kebangsaan (PSKK) dan Persatuan Karyawan Kaligrafi Malaysia (KALIMA) dipamerkan. 

KHAT merujuk kepada seni kaligrafi Arab yang telah menjadi aspek penting dalam budaya Islam.

Menurut Yang DiPertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan Malaysia, Dr. Abd Rahman Hamzah, terdapat enam seni khat popular yang dipamerkan di pameran tersebut. 

“Seni khat berasal dari zaman para anbiya dan pada peringkat awal mempunyai satu jenis iaitu Kufi. Apabila Islam berkembang di serata dunia, penulisan khat juga berkembang. 

“Mengikut catatan sejarah, terdapat beratus jenis khat wujud ekoran daripada pengaruh budaya yang berbeza di seluruh dunia ke dalam tulisan Arab tersebut. 

“Namun, hanya ada enam yang paling popular iaitu Kufi, Naskh, Thuluth, Diwani, Ruq’ah dan Farisi,” katanya yang ditemui pada program Demonstrasi Seni Khat di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, baru-baru ini. 

Untuk pengetahuan, khat Kufi merupakan salah satu bentuk tertua yang bersifat geometrik dan bersudut.

Kaligrafi Kufi telah digunakan selama berabad-abad untuk tulisan al-Quran lama, seni bina Islam, manuskrip dan tekstil.

Sementara itu, kaligrafi Naskh memiliki ciri bentuk yang lembut dan praktikal serta mudah dibaca kerana mempunyai baris.

Skrip tersebut terkenal dengan huruf yang jelas, mudah dibaca dan penggunaannya yang meluas dalam penulisan al-Quran pada zaman ini. 

Thuluth pula, terkenal dengan ketinggian hurufnya dan penggunaan garis panjang mendatar.  

SEBANYAK 40 karya seni khat dipamerkan pada Pameran Seni Khat di UM baru-baru ini.

Kaligrafi tersebut jarang digunakan untuk menulis al-Quran, tetapi lebih kepada hiasan pada monumen Islam, manuskrip dan objek. 

Diwani memiliki pelbagai corak mengelirukan yang digunakan dalam dokumen sulit semasa Empayar Uthmaniyyah pada abad ke-16.

Kini, estetik Diwani masih lagi digunakan orang ramai pada kad jemputan perkahwinan, sijil dan dokumen-dokumen rasmi. 

Dalam pada itu, Ruq’ah merupakan tulisan Arab yang ringkas dan praktikal serta terkenal dengan garis lurus, bentuk padat dan kekurangan unsur hiasan. 

Ia sering menjadi skrip pertama yang diajar di sekolah dalam pengajian penulisan Arab.

Akhir sekali adalah Farisi yang terkenal dengan lengkungan mengalun, huruf senget dan komposisi elegan. 

Khat Farisi banyak digunakan dalam penulisan buku kesusasteraan serta tajuk dalam majalah dan surat khabar.

Ujar Abd Rahman lagi, Malaysia perlu hargai penulis khat tempatan kerana mereka juga memiliki bakat sama hebat dengan penulis khat di luar negara. 

“Saya berharap kita tidak terlalu bergantung kepada penulis khat luar untuk tulisan al-Quran dan hiasan monumen-monumen Islam di negara ini. 

“Hal ini kerana, negara kita memiliki bakat-bakat hebat dalam penulisan khat dan jumlah mereka semakin berkembang,” katanya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI