SAAT melangkah menuju ke ruang masuk Kwai Chai Hong di Lorong Panggung, Kuala Lumpur, penulis tertarik dengan hiasan tanglung berwarna oren dan merah yang disusun rapi pada bahagian atas jambatan.
Kawasan yang diberi nama Jambatan Berkat itu merupakan lintasan simbolik yang dipenuhi dengan ucapan selamat sejahtera dan tuah bersempena Tahun Baharu Cina yang bakal tiba.
Memandangkan tahun ini merupakan tahun ular mengikut kalender zodiak Cina, pasti ramai pengunjung menyangka haiwan tersebut akan menjadi tema utama ruangan pameran itu.
Namun, mereka pasti akan terkejut apabila melihat lorong kecil di celah-celah kedai itu sebenarnya dihiasi dengan deretan tanglung ikan yang bercahaya.
Biarpun ikan bukanlah salah satu zodiak dalam kalender Cina, namun haiwan akuatik tersebut memainkan peranan yang sangat penting dalam sambutan perayaan masyarakat Cina.
Menurut pengasas bersama dan rakan kongsi urusan Bai Chuan Management Sdn Bhd, Zeen Chang, ikan merupakan juadah wajib di meja makan malam Tahun Baharu, sekali gus diangkat menjadi tema pameran pada kali ini. Katanya, penyediaan makanan berasaskan ikan melambangkan keberkatan, kemakmuran dan rezeki yang bakal dikongsi bersama orang tersayang pada tahun tersebut.
“Perkataan ‘ikan’ dalam bahasa Cina berbunyi ‘yu’ memiliki fonetik sama dengan perkataan ‘kelimpahan nikmat’ yang juga berbunyi ‘yu’.
“Justeru, ikan mewakili limpahan kemakmuran pada tahun yang bakal menjelma nanti. Lebih besar ikan yang dihidang, lebih besar berkat yang akan sampai nanti,” katanya kepada CitaRasa.
Pada tahun ini, Kwai Chai Hong dengan kerjasama penaja Bangsar Heights Pavilion (BHP) menghasilkan pemasangan seni dengan nama Bountiful Blessings yang diilhamkan dengan peribahasa bahasa Cina iaitu Nian Nian You Yu (semoga dilimpahkan rezeki pada setiap tahun).
Secara keseluruhan, pameran tersebut mempersembahkan 26 tanglung ikan pelbagai saiz yang diperbuat daripada bingkai logam dan dilengkapi lampu diod pemancar cahaya (LED) yang dipersembahkan sehingga 16 Februari ini.
Orang ramai harus mengambil peluang ini untuk bersantai dan berfoto outfit of the day (OOTD) sambil menikmati keindahan tanglung ikan.
Sebanyak 19 daripada tanglung ikan tersebut juga digunakan pada acara perarakan ikan yang turut diadakan pada 11 dan 18 Januari.
Perarakan yang diiringi muzik gendang tarian naga itu dimulakan dari pintu ke Kwai Chai Hong merentasi Jalan Panggung, Jalan Petaling dan Jalan Balai Polis. Uniknya, acara perarakan ikan itu mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya bahan pameran itu dibawa keluar dari kawasan itu.
Tambah Zeen Chang, acara itu diyakini dapat menyuntik nafas berbeza buat pengunjung yang mahu menyaksikan kelainan dalam sambutan Tahun Baharu Cina.
“Di Malaysia, perarakan ikan tidak popular atau hampir tiada. Di China, mereka berarak menggunakan tanglung ikan yang diperbuat daripada buluh.
“Oleh itu, saya berharap usaha melakukan perarakan selama 30 minit ini dapat menyebarkan lagi pengetahuan orang ramai tentang warisan budaya kami,” katanya.