fbpx

Konvoi motosikal ke Pantai Morib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LEBIH 30 penunggang motosikal Yamaha menyertai konvoi membersihkan Pantai Morib baru-baru ini.

INISIATIF lebih 30 penunggang motosikal ini wajar dipuji apabila mereka berkonvoi menuju ke Pantai Morib, Selangor untuk menyertai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu pembersihan pantai baru-baru ini. 

Aktiviti yang dianjurkan oleh Pusat Yamaha Kok Cheng itu bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara pembeli dan penjual di samping melakukan acara amal. 

Seawal pukul 9 pagi, peserta yang merupakan pengguna motosikal Yamaha berkumpul beramai-ramai di hadapan Pusat Yamaha Kok Cheng di Klang, Selangor untuk taklimat permulaan. 

Biarpun hujan sedikit renyai ketika konvoi bermula, namun keadaan cuaca menjadi semakin baik dan melancarkan perjalanan yang mengambil masa kira-kira setengah jam itu.

Bagi penunggang motosikal Yamaha Y16ZR, Muhammad Saifiuddin Samsir, aktiviti membersihkan pantai beramai-ramai bersama peserta konvoi yang lain merupakan pengalaman pertamanya dan isteri, Nur Amalina Suaini.

KONVOI tersebut mengambil masa kira-kira setengah jam untuk sampai ke Pantai Morib.

“Saya sudah banyak kali menyertai konvoi bersama Pusat Yamaha Kok Cheng sebab saya dan isteri sememangnya meminati aktiviti berkonvoi.

“Tetapi sebelum ini lebih tertumpu kepada aktiviti konvoi santai dari satu destinasi ke satu destinasi. 

“Oleh itu, pada kali ini mereka anjurkan aktiviti berbeza iaitu membersihkan pantai. Jadi, ini adalah pengalaman pertama saya bersama isteri berkonvoi sambil membuat kerja amal,” katanya. 

Bercerita mengenai pengalamannya, pemuda berusia 32 tahun itu berkata, mereka berhenti mengisi minyak terlebih dahulu sebelum singgah makan di Buharry Briyani Bistro.

Setelah selesai bersarapan, peserta konvoi meneruskan perjalanan mereka ke Pantai Morib untuk melakukan aktiviti pembersihan.

Ketika tiba di pantai, peserta konvoi diberikan alatan seperti sarung tangan, penyepit sampah dan plastik kitar semula untuk mengumpul sisa yang berselerak di sepanjang pesisir pantai.

Aktiviti pembersihan pantai yang mengambil masa lebih kurang dua jam itu berjaya mengumpulkan beberapa beg sampah dan kemudian diletakkan ke dalam tong sampah yang disediakan.

PARA peserta teruja menyertai konvoi motosikal anjuran Pusat Yamaha Kok Cheng.

Tambah Muhammad Saifiuddin, biarpun aktiviti tersebut dilakukan dalam masa singkat dan jarak perjalanan juga tidak begitu jauh, namun terdapat makna besar di sebalik aktiviti berkenaan. 

“Sejujurnya, aktiviti konvoi membersihkan Pantai Morib nampak kecil jika dibandingkan dengan aktiviti-aktiviti konvoi yang lebih besar. 

“Tetapi saya percaya, sekiranya aktiviti sebegini sering dilakukan, pasti akan memberi impak yang besar terhadap alam sekitar terutama yang dekat dengan tempat tinggal kita,” katanya. 

Sementara itu, Pengasas Pusat Yamaha Kok Cheng, Tan Chee Khei berkata, aktiviti tersebut merupakan salah satu daripada program CSR dalam kalender tahunan mereka. 

Ujar Chee Khei, penting buatnya sebagai penjual untuk bukan sahaja menjalinkan hubungan baik dengan pelanggan, tetapi pada masa yang sama turut menggalakkan aktiviti yang memberi manfaat terhadap alam sekitar atau masyarakat.

“Penganjuran ini bukan sahaja untuk membina ukhuwah dengan mereka yang meminati aktiviti yang sama dari serata negeri, tetapi juga menyemai sifat-sifat terpuji. 

“Selain itu, kami juga pernah menganjurkan aktiviti lain seperti meraikan Hari Wanita dan membuat kerja-kerja kebajikan antaranya, membeli baju raya dan berbuka puasa bersama anak-anak yatim,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI