fbpx

Terokai keindahan alam Rembau dengan ATV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA peserta gembira menyertai aktiviti ATV sambil dikelilingi panorama memukau di Temuan Hills, Rembau, Negeri Sembilan. – Gaya Travel Media

PENGALAMAN menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) sememangnya menguji tumpuan, keseimbangan dan kemampuan penyelarasan setiap penunggangnya. 

Namun, ia merupakan satu cabaran yang harus disahut sesiapa sahaja yang mahu menerokai landskap-landskap indah sambil menikmati aktiviti beradrenalin tinggi. 

Penulis berpeluang mencuba aktiviti tersebut ketika dibawa melawat Temuan Hills iaitu kawasan peranginan yang dikelilingi keindahan alam semula jadi di Rembau, Negeri Sembilan baru-baru ini. 

Kunjungan wakil media ke kawasan tersebut merupakan sebahagian usaha untuk mempromosi tarikan pelancongan di negeri itu yang dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dan Gaya Travel Magazine. 

Mengikut pakej asal, terdapat tiga jenis trek ATV yang ditawarkan pusat peranginan tersebut, namun disebabkan kekangan masa, kami hanya berpeluang untuk mencuba trek paling mudah iaitu Trek A (Amazon). 

Trek yang memakan masa satu jam itu agak mencabar apabila berhadapan dengan tanah berlecak sehingga penulis sendiri perlu mendapatkan bantuan daripada rakan untuk perbetulkan posisi ATV.

PENUNGGANG perlu menempuhi jalan tanah yang berlecak.

Selain itu, para peserta juga perlu menempuhi kawasan yang sarat dengan tumbuhan-tumbuhan menghijau yang menjalar di sekeliling jalan.

Benar seperti diduga, destinasi yang dituju sememangnya menawarkan panorama indah alam semula jadi dengan kabus-kabus putih sebagai pelengkap estetika. 

Paling menarik, laluan pulang membawa para peserta menempuhi kawasan perkampungan orang Asli Temuan yang tidak lokek dengan senyuman. 

Menurut pengendali kumpulan ATV, Mohammad Rauf Shamsudin, waktu paling sesuai untuk mendapatkan pengalaman optimum bermain ATV berserta berpeluang bergambar dengan panorama indah adalah pada waktu pagi atau  petang. 

“Kalau mahu melihat panorama yang cantik, sememangnya kami sarankan aktiviti dilakukan pagi atau petang. Sekiranya cuaca tidak mengizinkan, pelanggan boleh menukar tarikh. 

ANTARA cabaran adalah ranting pokok yang menganggu pandangan penunggang.

“Peserta hendaklah memakai kasut yang sesuai. Bagi wanita, saya sarankan memakai baju lengan panjang, manakala wanita mengandung tidak dibenarkan menyertai aktiviti ini,” katanya kepada CitaRasa.

Secara keseluruhan, terdapat sebanyak 11 hingga 13 ATV dengan enjin berkuasa 200cc dan 250cc yang boleh ditempah untuk satu-satu masa.

Setiap satu ATV boleh dinaiki dua orang peserta dan usia paling muda dibenarkan mencuba aktiviti ini adalah berumur tiga hingga empat tahun.

Selain Trek A (Amazon), peminat ATV juga boleh memilih dua lagi pakej laluan iaitu Trek B (Amazon dan Rimba) yang memakan masa lebih kurang satu jam setengah. Seterusnya, Trek C (Amazon, Rimba dan Jeram Peti)  yang memakan masa lebih kurang dua jam setengah. 

Untuk pakej Trek C, peserta akan dibawa ke kawasan air terjun dan boleh membawa makanan sendiri untuk aktiviti berkelah sambil bermandi-manda.  

Tambah Mohammad Rauf, peserta tidak perlu memiliki pengalaman membawa ATV untuk mencuba setiap trek yang ada meskipun terdapat jalan-jalan yang berbentuk curam. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI