KUALA LUMPUR – Hasrat beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah untuk mara ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka India lebur selepas tersingkir di pusingan separuh akhir.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Indira Gandhi, New Delhi sebentar tadi, gandingan No.7 dunia itu akur dengan kekalahan straight set 18-21, 18-21 kepada beregu Korea Selatan, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong.
Walaupun tewas, namun sekurang-kurangnya juara Terbuka Perancis itu berjaya memperbaiki pencapaian pada Terbuka Malaysia minggu lalu di mana mereka tersingkir seawal pusingan pertama.
Selain itu, semangat juang ditampilkan mereka sepanjang perlawanan juga wajar dipuji, terutamanya ketika Pearly mengalami kecederaan pada pergelangan tangan kiri ketika ketinggalan 15-19 di set kedua.
Selepas ini, Pearly-Thinaah akan melakukan persiapan bagi menghadapi kejohanan Indonesia Masters yang dijadualkan berlangsung di Jakarta bermula Selasa hingga Ahad depan. – KOSMO! ONLINE