fbpx

[VIDEO] Pelajar merempit selepas selesai SPM diarah ‘berkawad’ depan IPD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar klip video memaparkan sebahagian 45 calon SPM beratur dan berjalan beramai-ramai ke surau selepas ditahan dalam operasi trafik di IPD Marang pada kelmarin.

MARANG – Perbuatan 58 calon Sijil Pelajar Malaysia (SPM) dari beberapa sekolah di sekitar daerah ini dan Hulu Terengganu menunggang dan membonceng motosikal beramai-ramai secara berbahaya di sekitar daerah ini menerima padah apabila ditahan polis dalam sekatan jalan raya pada Khamis lalu.

Mereka ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan yang diadakan selama tiga jam sehingga pukul 3 petang.

Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd. Sofian Redzuan berkata, siasatan mendapati kesemua pelajar tingkatan lima terbabit menunggang motosikal beramai-ramai bagi meraikan selesai menghadapi kertas akhir SPM.

“Sebanyak 120 notis kompaun atas pelbagai kesalahan dikeluarkan selain 45 buah motosikal terbabit turut disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pemeriksaan lanjut mendapati dua daripada motosikal terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 108 akta sama,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Terdahulu tular klip video memaparkan sekumpulan calon SPM yang masih berpakaian seragam sekolah beratur beramai-ramai di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini setelah ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan.

Mohd. Sofian berkata, kesemua pelajar diarahkan beratur sebelum berjalan beramai-ramai ke surau IPD berkenaaan untuk menunaikan solat asar berjemaah.

Beliau kemudiannya memberi nasihat berkaitan keselamatan dan peraturan jalan raya kepada calon SPM terbabit.

“Saya menasihatkan semua remaja mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan diri dan pengguna lain.

“Ibu bapa juga dinasihatkan agar memantau anak masing-masing bagi mengelakkan mereka terjebak dalam aktiviti tidak sihat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI