PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat lagi pegawai bank semalam bagi membantu siasatan berhubung sindiket rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan pinjaman bernilai RM700 juta kepada penjawat awam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, empat pegawai bank terbabit individu terbaru ditahan semalam dan direman hari ini.
“Sebelum ini, seramai 12 orang direman selama lima hari, namun tujuh daripada mereka akan dilepaskan hari ini.
“Lima lagi akan dimohon untuk disambung reman hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Semalam, SPRM merampas sebanyak 4,000 dokumen bagi menjalankan siasatan akan pembabitan pegawai bank dan organisasi perunding kewangan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan ini sejak tahun 2020.
Azam Baki berkata, 16 individu terdiri daripada pegawai bank dan syarikat perundingan akan dipanggil dan berkemungkinan ditahan bagi membantu siasatan.
Terdahulu Kosmo! melaporkan SPRM menumpaskan sindiket kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan dan institusi kewangan susulan penahanan 12 individu di sekitar Lembah Klang.
Kesemua suspek termasuk dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 40-an itu ditahan dalam serbuan Op Sky di 24 lokasi termasuk rumah dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada 13 Januari lalu.
Mereka yang ditahan termasuk dua pengarah syarikat perunding kewangan, seorang pengarah yayasan, pengurus dan bekas pengurus jualan institusi perbankan. – KOSMO! ONLINE.