BENTONG – Sebanyak sembilan buah premis makanan termasuk restoran di sekitar Genting Permai di sini diarah tutup kerana kotor dan gagal mematuhi peraturan kebersihan ditetapkan.
Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, dalam operasi berkenaan pihaknya turut mengeluarkan 110 notis cadangan kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM).
“Kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan terutamanya yang melibatkan kebersihan premis dan pengendali makan dengan sembilan buah premis tidak suci diberikan perintah penutupan.
“Dalam operasi sehingga pukul 11 malam semalam sebanyak 142 notis cadangan kompaun di bawah akta 852 dikeluarkan iaitu 139 atas kesalahan merokok di kawasan larangan, tiga notis kompaun kerana gagal mempamer tanda larangan atau menyediakan kemudahan merokok dan satu notis pendakwaan terus bagi kesalahan menerbitkan iklan produk rokok,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, notis penutupan premis telah ditampal dan premis berkenaan perlu melakukan pembersihan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan sebelum boleh beroperasi semula.
Dalam pada itu katanya, melalui Operasi Mega Bersepadu Penguatkuasaan Perundangan Kesihatan Awam Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Pahang itu sebanyak 85 premis perniagaan diperiksa sehingga pukul 11 malam semalam.
Katanya, operasi disertai 153 penguatkuasa ini melibatkan penguatkuasaan bersepadu terhadap Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852], Akta Makanan 1983 [Akta 281] dan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 [Akta 154] dengan penumpuan di kawasan premis perniagaan, premis makanan, tapak binaan serta kawasan tumpuan awam lain di sekitar daerah ini.
Tambahnya, bagi kesalahan di bawah Akta 154, terdapat lima notis cadangan kompaun dikeluarkan dan satu perintah dikeluarkan bagi arahan menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan tapak bina yang berpotensi membiakkan jentik-jentik.
“Nilaian keseluruhan notis cadangan kompaun yang dikeluarkan semalam adalah sebanyak RM74,100,”katanya.
Sementara itu katanya, pada tahun lalu sebanyak 1,191 operasi melibatkan semua perundangan kesihatan awam telah dijalankan di negeri Pahang dan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang telah mengeluarkan sebanyak 22,703 notis cadangan kompaun di bawah perundangan kesihatan awam dengan nilai RM6.395 juta.
Katanya, dalam tempoh itu juga sebanyak 2,028 kertas siasatan dibuka bagi tujuan pendakwaan di mahkamah dengan 114 daripadanya telah disabitkan kesalahan dengan nilai denda berjumlah RM273,900. – KOSMO! ONLINE