TANGKAK – Suspek kes dadah yang melarikan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak di sini Rabu lalu sebelum sempat didakwa, berjaya diberkas semula selepas bersembunyi di Kluang.
Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd. Talib, suspek berusia 38 tahun diberkas pada pukul 10.50 pagi tadi dalam sebuah rumah.
“Menerusi maklumat awam Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tangkak dibantu polis daerah Kluang, pihak polis ke tempat kejadian dan membuat tangkapan.
“Hasil tangkapan membawa kepada penemuan dan rampasan sebuah motosikal jenis Honda RSX biru yang hilang dan digunakan suspek untuk melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, hasil pandu arah suspek utama tersebut, pihak polis berjaya menangkap dua rakan suspek disyaki bersubahat melindunginya semasa melarikan diri.
“Suspek bersama-sama dua rakan subahatnya dibawa ke IPD Tangkak untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan kerana lari daripada jagaan yang sah,” katanya. – KOSMO! ONLINE