fbpx

Seragam kelulusan taska di 12 PBT Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anfaal ketika sidang akhbar selepas merasmikan BS FreshMart di Rawang, Selangor hari ini. Foto oleh Saddam Yusoff/ Kosmo!

KUALA SELANGOR – Sebuah Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Pusat Jagaan termasuk Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) dibentuk bagi memudahkan cara operator yang kini berdepan kelulusan pendaftaran pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, pihaknya mengakui ramai pengusaha taska berdepan kesulitan ekoran syarat kelulusan di 12 PBT adalah berbeza.

Katanya, situasi itu berlaku berkemungkinan disebabkan keperluan atau kehendak PBT adalah mengikut demografi tempatan.

“Jadi, kita hendak mudahkan dan seragamkan kelulusan PBT tersebut agar operator atau pengusaha taska khususnya boleh didaftarkan.

“Sasaran siap penyeragaman kelulusan itu adalah pada Julai ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan cawangan BS FreshMart, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan kerajaan negeri dalam memudahkan pendaftaran taska di Selangor yang berdepan kesulitan dalam memenuhi syarat kelulusan PBT.

Ini ekoran permintaan taska yang tinggi di kalangan penduduk Selangor sehingga ada menghantar anak-anak mereka meskipun di taska tidak berdaftar.

Kata Anfaal, jawatankuasa itu dipengerusikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze yang meneliti dan menambah baik garis panduan untuk pembukaan atau pendaftaran pusat jagaan sama ada warga emas, OKU dan taska.

“Kita telah menjemput semua PBT bagi proses tersebut dengan kerjasama lanjut dijalankan bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)

“Ini susulan MBPJ agak kehadapan termasuk berhubung garis panduan pusat jagaan berpantang. Jadi semua isu timbul mengenai pendaftaran khususnya sedang diteliti sewajarnya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, kerajaan negeri telah meluncurkan Geran Pusat Jagaan (GPJ) dengan dana geran bernilai RM400, 000 pada Selasa lalu.

“Kita mendapat sambutan dari segi permohonan dengan setiap pengusaha taska atau pusat jagaan sama ada syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) boleh memohon maksimum sebanyak RM5, 000 bagi satu operator dan geran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI