GEORGE TOWN – Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mahu satu penyelesaian segera diambil bagi memastikan isu buli siber dapat diatasi.
Wan Azizah berkata, pada masa ini isu buli siber terutama dalam kalangan kanak-kanak serta orang dewasa berada pada tahap serius.
“Isu buli siber ini serius, sampai ada mangsa mengambil nyawa sendiri, kita mesti tanganinya secepat mungkin,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian program kembali ke sekolah 2025 bersama anak-anak Pulau Pinang hari ini.
Program anjuran Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia) dan Pertubuhan Wanita Mutiara Pulau Pinang yang merupakan program bantuan persekolahan itu melibatkan pemberian bantuan berbentuk beg sekolah, alat tulis serta wang sumbangan kepada 300 orang pelajar sekolah rendah.
Wan Azizah yang juga Pengerusi Kasih Malaysia berkata, selain itu ibu bapa perlu memainkan peranan aktif dalam memantau aktiviti dalam talian anak-anak mereka.
“Anak-anak kita masih muda, dunia digital ini luas dan penuh cabaran. Kita mesti tapis apa yang mereka akses dan awasi apa yang mereka cari di internet,” katanya. – KOSMO! ONLINE